Cermin mata, sejenis alat bantu penglihatan bagi mereka yang mempunyai masalah rabun, namun kini ada yang menjadikan alat ini sebagai trend kecantikan.
Seperti diketahui, untuk membuat cermin mata yang sesuai dengan 'power' mata kita adalah agak mahal, mencecah ratusan ringgit dan ada yang mencapai ribuan ringgit, tetapi kadang-kadang cepat rosak walaupun yang terbaik sudah dibeli.
Kenapa ianya terjadi? rupanya ada perkara yang kita tak tahu dalam penjagaan cermin mata ini yang membuatkan ia cepat rosak, jom baca tips yang dikongsikan oleh Optometris Puan Hanun Nadiah Rozi ini yang kini berkhidmat di ABS Optomedik Centre Ipoh.
Orang kata cermin mata ni sejenis pelaburan. Kita labur duit untuk penglihatan lebih baik.
Tapi kadangkala, pelaburan ni tak bertahan lama. Baru enam bulan pakai, dah calar sana sini.
Jadi, bagaimana nak bagi cermin mata tahan lebih lama supaya bertahun-tahun boleh pakai?
Saya kongsikan tips ya.
+ Jika mahu lap kesan cap jari atau habuk atas kanta cermin mata, pastikan bukan dalam keadaan kanta kering. Lalukan cermin pada air dulu supaya habuk berlalu pergi. Boleh kalau nak lap masa kering. Cumanya, kanta tu akan lagi cepat bercalar kalau ada habuk melekat semasa dilap.
+ Disebabkan kanta tu seeloknya basah, jangan pula sewaktu tiada sumber air, anda sedekah air liur pula pada kanta. Tahukah anda, air liur mungkin mengandungi minyak dan unsur lain yang boleh sebabkan lapisan antisilau kanta rosak.
+ Lap kanta guna kain lembut contohnya kain mikrofiber. Boleh kalau nak guna tisu atau kain biasa, cuma nanti cermin lagi senang ada kesan calar sebab material kasar. Ibarat seperti kesan parut pada kulit sebab terhiris duri pokok bunga ros. Akibatnya nanti, lagi cepat pula perlu melabur pada kanta lain.
+ Masa nak tidur, buka cermin mata, letak elok-elok di tepi bantal atau atas meja terdekat. Pastikan kantanya menghadap siling (ke atas). Supaya kanta tak bergeser dengan permukaan kasar. Tapi kalau letak dalam bekas khas bingkai tersebut, diizinkan.
+ Jaga cermin mata ni macam jaga cermin kereta. Contohnya, masa memandu, mesti nak cermin depan bersih, betul tak.. Baru rasa puas bila nak 'aim' potong kereta depan. Jadi kalau dah rasa comot tu, jemput lap ya.
Tips di atas akan jadi mudah jika benar benar sayang pada peneman setia mata anda. Sayangilah mereka.
Besar harapan saya agar jodoh anda panjang dengan cermin mata masing-masing. 😊
P/s : Perkenalkan 'nyawa kedua' saya. Faham-faham sajalah kalau power tinggi ni. Hilang arah kalau tiada cermin mata.
Optometris
via Bin Usrah
0 comments