1) Berdiri, rukuk dan sujud adalah termasuk di dalam rukun solat. Sesiapa yang mampu melakukannya, maka wajib melakukannya seperti yang disyariatkan. Adapun sesiapa yang uzur kerana sakit atau tua, bolehlah duduk di atas lantai ataupun di atas kerusi. Asas dalam hal ini ialah berdasarkan firman Allah SWT yang mengandungi perintah menunaikan solat dalam keadaan berdiri:
Maksudnya: “Peliharalah semua solat(mu), dan (peliharalah) solat wusthaa. Berdirilah untuk Allah (dalam solatmu) dengan Qanit.” (Surah al-Baqarah ayat 238)
Setelah itu datang keringanan dari Nabi SAW bagi yang uzur berdasarkan hadis daripada ‘Imran bin Husain r.a.:
كَانَتْ بِي بَوَاسِيرُ فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الصَّلَاةِ فَقَالَ صَلِّ قَائِمًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Dahulu aku pernah mengidap penyakit buasir, lalu aku bertanya kepada Nabi SAW tentang solat. Jawab baginda: “Solatlah secara berdiri, jika kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk, jika kamu tidak mampu juga, maka solatlah di atas rusuk.” (HR al-Bukhari, hadis no. 1066)
Kata al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi: Maksudnya: “Para ulama telah bersekapat bahawa sesiapa yang tiada mampu berdiri, maka boleh solat secara duduk.” (al-Mughniy 1/443)
Kata al-Imam al-Nawawi: “Ummah telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu berdiri dalam solat fardu, maka dia boleh solat secara duduk, dan tidak perlu pengulangan (solat yang ditunaikan secara duduk kerana keuzuran).
Kata Ashab kami: “Tidak dikurangi pahala solatnya secara duduk berbanding berdiri, kerana dia ketika itu seorang yang uzur. Sesungguhnya telah thabit di dalam Sahih al-Bukhari bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إذا مَرِضَ العبدُ أو سافر كُتِبَ له مِثْلُ ما كان يعمل مقيمًا صحيحًا
Maksudnya: “Apabila seseorang hamba itu sakit atau dalam permusafiran, dicatit untuknya apa yang dilakukannya ketika dia tidak bermusafir dan ketika sihat.” (HR al-Bukhari – al-Majmu’ 4/226)
Kata al-Syaukani: “Hadis ‘Imran menunjukkan keharusan bagi sesiapa yang memiliki keuzuran yang tidak mampu berdiri untuk solat secara duduk, dan sesiapa yang ada keuzuran, dan tidak mampu solat secara duduk, dia boleh solat secara berbaring di atas lambung/rusuk.” (Nail al-Author 3/243)
Oleh itu, sesiapa yang solat fardu secara duduk sedangkan dia mampu berdiri, maka solatnya adalah batal. Adapun bagi sesiapa yang memiliki keuzuran untuk berdiri sahaja disebabkan sakit, maka harus baginya solat secara duduk di atas kerusi pada kedudukan berdiri. Manakala dia rukuk dan sujud dalam bentuk yang diperintahkan (secara sempurna). Jika mampu berdiri, namun sukar untuk duduk dan sujud. Maka wajib solat secara berdiri, kemudian duduk di atas kerusi apabila hendak rukuk dan sujud dengan menjadikan tunduknya untuk sujud lebih rendah daripada rukuk. Hal ini berdasarkan kaedah yang menyebut:
المشقة تجلب التيسير
Iaitulah: “Sesuatu kesempitan itu, mendatangkan kemudahan.” Demikian juga berdasarkan salah satu prinsip syariat iaitulah
رفع الحرج ودفع المشقة
yang bermaksud “Menghilangkan kesukaran dan menolak kesempitan.” Selain itu terdapat dalil lain yang banyak dalam hal ini, antaranya firman Allah SWT yang bermaksud, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya…” (Surah al-Baqarah ayat 286)
Firman Allah SWT maksudnya: “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kemampuanmu…” (Surah al-Taghabun ayat 16)
Sabda Nabi SAW:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Dan apabila aku memerintahkan kamu semua melakukan sesuatu, maka laksanakanlah ia menurut kemampuanmu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz RH berkata: “Yang wajib ke atas sesiapa yang solat secara duduk di atas lantai atau atas kerusi, menjadikan sujudnya lebih rendah berbanding rukuk. Sunnah juga untuk dia meletakkan dua tangannya di lutut ketika itu pada kedudukan rukuk. Adapun pada kedudukan sujud, maka yang wajib, dia meletakkan kedua tangannya di atas lantai jika mampu. Jika tidak mampu maka bolehlah diletakkan di atas lutut berdasarkan hadis yang thabit dari Rasululah SAW yang bersabda:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ
Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk sujud di atas 7 anggota iaitulah dahi dan baginda juga menunjukkan tangan baginda ke hidung, dua telapak tangan, dua lutut dan jari-jari kedua-dua kaki.” Maka sesiapa yang ada keuzuran melakukan semua ini, dia pula menunaikan solat di atas kerusi, maka tidak mengapa berdasarkan firman Allah:
Maksudnya: “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu…” (Surah al-Taghabun ayat 16)
Dan sabda Nabi SAW:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Dan apabila aku memerintahkan kamu semua melakukan sesuatu, maka laksanakanlah ia menurut kemampuanmu.” (HR al-Bukhari dan Muslim).” (Fatawa Ibn Baz 12/245-246)
Justeru, perlu diberi perhatian bahawa sesiapa yang hanya tidak mampu berdiri, namun mampu melakukan sujud dan rukuk, maka tidak boleh dia duduk di atas kerusi pada kedudukan sujud dan rukuk. Demikian juga jika dia hanya tidak mampu untuk rukuk dan sujud seperti biasa, namun mampu berdiri, maka tidak boleh dia duduk di atas kerusi pada kedudukan berdiri. Al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi berkata:
“Dan sesiapa yang mampu berdiri, namun tidak mampu melaksanakan rukuk dan sujud, tidak gugur darinya kewajipan berdiri, hendaklah orang seperti ini solat dengan berdiri, lalu dia melakukan isyarat ketika rukuk, kemudian dia duduk dan melakukan isyarat ketika sujud. Inilah juga yang dikatakan oleh al-Syafie… firman Allah:
Maksudnya: “Dan berdirilah (di dalam solat) dengan Qanit.”
Demikian juga sabda Nabi SAW
: صَلّ قَائِمًا
Yang bermaksud: “Tunaikanlah solat dengan berdiri.”
Ini kerana berdiri di dalam solat adalah salah satu rukun solat bagi sesiapa yang berkemampuan, maka wajib dia melaksanakannya dengan baik sama seperti rukun membaca al-Fatihah.
Ada keuzuran melakukan rukun yang lain tidak menjadikan gugurnya kewajipan melaksanakan rukun berdiri ini…” (al-Mughniy 1/444)
2) Bukan semua sakit membolehkan seseorang solat di atas kerusi. Para ulama telah berbeza pandangan tentang batasan sakit yang membolehkan diambil keringanan. Maka yang sahih atau yang benar dari berbagai pandangan tersebut ialah apabila timbul kesukaran dari sudut akan hilang kekhusukan di dalam solat, maka ketika itu harus mengambil keringanan solat dengan duduk.
Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: “Garis ketetapan bagi masyaqqah (kesukaran/keperitan): iaitulah apa-apa yang menghilangkan khusuk, dan khusuk itu adalah kehadiran jantung hati dan tomakninah (ketenangan), maka apabila seseorang berdiri di dalam solat, lalu ia merasai gelisah yang bersangatan dan tiada lagi ketenangan, sehingga dia mengharap al-Fatihah yang dibaca segera dihabiskan agar dapat segera rukuk kerana kesukaran atau keperitan menanggung kesakitan, maka ketika itu dia dikira memiliki kesukaran atau keperitan untuk berdiri, maka orang seperti ini solat dengan duduk.” (al-Syarh al-Mumti” 4/326)
3) Berkaitan kedudukan kerusi di dalam saf pula, ada dua keadaan:
i) Jika seseorang memulakan solat dengan duduk dari awal solat sehingga ke akhirnya. Maka kedudukan kaki kerusi bahagian belakang adalah berada di atas saf, kerana ia mengambil peranan dua belah kaki. Oleh itu hendaklah dua kaki kerusi bahagian belakang dijadikan lurus di dalam saf bersama kaki para jemaah lainnya di dalam saf yang sama.
ii) Jika seseorang perlu menunaikan solat dengan menggunakan kerusi, namun di awal solat dia mampu untuk berdiri, dia akan menggunakan kerusi ketika hendak rukuk dan sujud, maka wajib dia berdiri sebaris dengan jemaah di dalam safnya dan kerusinya berada di belakangnya. Apabila dia hendak rukuk dan sujud, dia hendaklah bergerak ke hadapan sambil menarik kerusi yang berada di belakangnya jika kerusi itu mengganggu orang di belakangnya.
via Bin Usrah
0 comments