Sunday, November 20, 2016

Kos Sara Hidup Meningkat Disebabkan Faktor Luaran


PUTRAJAYA - Keadaan ekonomi negara yang mencabar pada masa ini sehingga meningkatkan kos sara hidup rakyat Malaysia adalah disebabkan oleh faktor luaran, bukannya faktor dalaman, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Jelasnya, parti politik dan kerajaan tidak akan bertindak memberikan kesengsaraan seperti itu kepada rakyat kerana ia akan mengurangkan sokongan mereka terhadap kerajaan. 

"Kita faham dan kerajaan bertindak balas mengikut kemampuannya dalam keadaan ekonomi yang agak bercelaru dari segi cabarannya. 

"Keadaan ini terpaksa diterjemahkan kepada pengurangan subsidi ataupun penstrukturan semula subsidi dan ini adalah respons kita kepada faktor luaran," katanya selepas menjadi speaker Sesi Pertama: Diskusi Ekonomi pada Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah (K-PAU) 2.0. 

Terdahulu dalam sesi soal jawab diskusi itu, Abdul Rahman berkata, hasil kutipan GST telah berjaya menyelamatkan kewangan negara ekoran penurunan harga minyak di pasaran dunia sejak 2014. Kadar pendapatan negara daripada penjualan minyak kira-kira RM40 bilion menurun separuh ekoran kejatuhan harga minyak. 

"GST lah yang telah menyelamatkan kita dan sejarah negara kita akan memberikan satu pujian kepada kepimpinan parti kita kerana berani untuk mewujudkan GST," katanya. 
Load disqus comments

0 comments