Tuesday, November 29, 2016

'Tayar Kereta Kami Ditoreh Di RNR Seremban' - Mangsa


Oleh Eja Amoi

Selalu baca kisah orang lain di Facebook ini, tak sangka saya mengalaminya sendiri semalam. Saya memang jarang sangat berhenti di hentian Rehat dan Rawat (RNR) kalau memandu bersendirian. Tetapi disebabkan suami ada dan kebetulan pula kami belum makan, kami berhentilah seketika di RNR.

Selepas siap semua, kami menyambung kembali perjalanan. Tak sampai lima minit perjalanan, tiba-tiba tayar belakang kereta kami pecah. Saya segera menyuruh suami berhenti di lorong kecemasan. Berdebar-debar sebab tahu memang bahaya memandu dengan keadaan tayar begitu. 

Nak keluar duduk di tepi tak boleh sebab tak ada ruang di sebelah luar pembahagi jalan. Jadi, tawakal sajalah duduk di dalam kereta. Mula-mula panik juga, tetapi tangan laju saja mencari talian kecemasan PLUS Ronda di laman Google. 

Mula-mula nombor PLUS Ronda tak dapat dihubungi menyebabkan saya terpaksa mencuba 4-5 kali barulah dapat. Selepas memaklumkan kejadian itu, kami tunggu di dalam kereta. Suami keluar sekejap unuk letak signage. 

Lima minit kemudian, ada kereta dari seberang tunjuk isyarat mahu menawarkan bantuan. Tetapi suami balas semula dengan isyarat 'okay'. Jadi, kereta itu teruskan perjalanannya. 

Tidak beberapa lama kemudian, datang sebuah kereta Proton Iswara berhenti berdekatan kereta kami. Keluar seorang lelaki memakai baju berlogo AAM, bawa walkie talkie menawarkan bantuan untuk tukar tayar. Kami menolakj dengan baik, namun lelaki itu beria-ria mahu menolong. Sekali lagi kami menolak dan memberitahunya yang rakan kami akan tiba tidak lama lagi. Lalu lelaki itu mengalah. Sebelum pergi, lelaki itu sempat meminta rokok dari suami, namun tidak diendahkan. 

Tidak lama selepas itu, datang sebuah lagi kereta dari seberang. Orangnya yang berpakaian AAM juga gigih melintas jalan nak membantu kami. Suami sehabis baik menolak bantuan orang itu. Lalu lelaki itu kembali semula ke keretanya. 

Saya sudah semakin risau dan menghubungi semula PLUS Ronda serta bertanya berapa lama lagi mereka akan tiba. 

Tidak lama selepas itu, datang lagi sebuah kereta Proton Saga atau Iswara lama. Orangnya memakai jaket keselamatan menyapa suami yang sedang membetulkan signage yang terjatuh di belakang kereta. Kali ini, dalam kereta mereka ada seorang perempuan dan kanak-kanak. Mungkin mereka dipergunakan bagi tujuan menyakinkan kami, sebab ada yang nampak saya pegang baby. 

Semasa suami sedang bercakap dengan lelaki itu, kereta Toyota Hilux PLUS Ronda tiba. Lelaki berkenaan yang kononnya mahu membantu terus masuk ke keretanya dan beredar. 

Bila anggota PLUS Ronda memeriksa keadaan tayar, katanya seperti ada kesan kena garit atau toreh pada tayar. Menurut mereka, perkara ini biasa berlaku, cuma nasib kami agak baik sebab PLUS Ronda tiba agak cepat. Dan tidak mustahil perkara ini berlaku ketika kami berhenti di RNR Seremban. 

Saya cuma mahu menasihatkan kepada mereka yang selalu travel, selain kurangkan berhenti di RNR, sentiasa pastikan bateri telefon bimbit mencukupi, sediakan kabel untuk cas telefon bimbit dalam kereta. Sekurang-kurangnya kalau bateri telefon nak habis, boleh cas menggunakan powerbank atau kereta. Telefon kena sentiasa boleh call out. Kalau nak pergi ke tandas pun, lebih baik pergi mengikut giliran atau ada yang tunggu di kereta. 

Berhati-hatilah semua. Zaman sekarang, macam-macam kes ada. Pada saya ia bukan satu kebetulan apabila tayar pecah. Empat kenderaan yang lebih kurang sama dan orang yang juga sama bangsanya datang dalam masa 15-20 minit. - Eja Amoi | The Reporter
Load disqus comments

0 comments