KUALA PENYU, SABAH - Seorang lelaki maut, dua parah, manakala lapan lagi mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan di Jalan Kampung Nukahan, pagi tadi, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi, Epol Akiw, 39, maut di lokasi kejadian apabila kereta yang dipandunya, Honda City, bertembung dengan sebuah lori yang dipandu oleh Edward Roney, 46, bersama dengan seorang lagi individu yang belum dikenali pasti, mengalami kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Awang Mohd Sabree berkata, sebuah jentera bersama enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik saja menerima panggilan pada jam 8.40 pagi.
"Berdasarkan maklumat awal, kemalangan ini membabitkan dua kenderaan iaitu Honda City bertembung dengan sebuah lori tiga tan yang membawa sembilan penumpang.
"Pemandu dan seorang lagi penumpang dilaporkan parah dan telah dihantar ke Hospital Kuala Penyu untuk rawatan kecemasan. Manakala lapan lagi penumpang yang lain dilaporkan stabil setelah menerima rawatan.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
0 comments