Sunday, May 29, 2016

"TAK PAYAHLAH KERJA DI SINI, AWAK TU TEMPANG...."



Salam.. Saya jarang teramat jarang post sesuatu di sini. Namun hari ini saya ambil keputusan untuk berbuat demikian.

Saya ada seorang adik ipar (lelaki) berusia 17 tahun, baru tamat SPM. Adik ipar saya ini seorang OKU (kaki tak sama panjang), menyebabkan gaya dia berjalan kelihatan tempang.

Setiap kali musim cuti sekolah, dia cuba mencari kerja separuh masa untuk mengumpul duit poketnya sendiri. Ke sana sini dia gigih mencari, namun tiada seorang pun yang mahu menerimanya hanya disebabkan keadaannya itu. Sehingga dia terpaksa mencari kerja di Bintulu, alhamdulillah ada yang sudi menerimanya.

Dan kini, selepas tamat persekolahan tingkatan 5, dia cuba mencari kerja. Puas mencari, akhirnya diterima di sebuah kedai. Baru saja bekerja selama 3 hari, adik ipar saya ini dimaklumkan bahawa dia hanya akan bekerja di kedai sehingga 31 Mei ini atas alasan keadaannya begitu (tempang). Dan gajinya hanya akan dibayar sebanyak RM60 sahaja.

Saya yang berada jauh dari kampung halaman ini terasa terkilan dan sedih bila mendapat tahu hal yang menimpanya ini. Tempang itu bukan dipinta, diberi pula layanan diskriminasi seperti ini. Jika situasi itu berlaku pada saya, sudah tentu akan mengambil langkah pergi dan tidak akan kembali ke kedai itu lagi. Namun, dia tetap mahu bekerja sehingga 31 Mei ini untuk mendapatkan wang gajinya yang sedikit sebanyak dapat membantu keluarganya yang susah.

Saya tidak tahu apa perancangannya selepas ini. Namun tidak mustahil jika dia tidak diberi tawaran kerja oleh sesiapa lagi berdasarkan pengalaman-pengalamannya mencari kerja sebelum ini. Adik ipar saya ini, bukan pemalas, dia seorang yang rajin dan mampu berdikari. Namun hati siapa yang tidak terasa jika dipandang rendah seperti itu?

Jadi, saya menyeru pada komuniti Miri ini, bantulah atau tawarkanlah pekerjaan untuk adik ipar saya yang OKU ini. Tidak banyak yang dipinta, hanya pekerjaan sahaja agar dia boleh menjalani kehidupan seperti orang biasa dan dapat membantu keluarganya. - Adam
Load disqus comments

0 comments