Friday, December 2, 2016

Pengasuh Mengaku Dera Bayi 5 Bulan


IPOH - Setelah puas memberi alasan bagi mengelakkan diri dikenakan tindakan, akhirnya pengasuh terbabit mengaku mendera bayi berusia 5 bulan, pada 28 November lalu. 

Menurut ibu mangsa, Farah Hanim, dia menghantar dua orang anaknya, Haziq, 3, dan adiknya, Habib, 5 bulan, ke rumah pengasuh berkenaan sejak dua bulan yang lalu. 

"Balik kerja hari Isnin 28 November, saya ambil Habib dari rumah pengasuh. Tiba-tiba pengasuh terus memaklumkan telinga anak saya digigit semut. Tetapi bila saya tengok telinga anak saya, ada kesan biru dan lebam bukan seperti yang didakwa. 

"Kebetulan pada masa itu terserempak dengan jiran pengasuh semasa dalam perjalanan balik. Bila jirannya ternampak telinga Habib, barulah dia memaklumkan kepada saya bahawa selama ini dia kerap mendengar tangisan bayi yang tidak diendahkan oleh pengasuh," katanya. 

Susulan itu, Farah terus membawa anaknya buat pemeriksaan di hospital. Keputusannya, doktor mengesahkan berlakunya penderaan fizikal pada mangsa, bukannya digigit oleh semut. 

"Saya WhatsApp pengasuh, namun dia tetap menegaskan telinga anak saya digigit semut. Bila saya beritahu saya berada di hospital, dia beri alasan lain kononnya telinga anak saya mungkin terkena pistol atau disepak oleh anaknya. 

"Keesokan hari, saya buat laporan polis dan hari seterusnya saya dan pengasuh dipanggil untuk memberi keterangan. 

"Bila ditanya, pengasuh putar belit, menipu sana sini. Alasan yang diberinya memang tidak logik. Akhirnya bila disoal siasat polis, barulah dia nak mengaku yang dia telah menampar pipi Habib (entah berapa kali), pulas telinga dan menjentik telinga anak saya berkali-kali atas alasan anak saya menangis," katanya.

Kini, Farah menyerahkan tindakan selanjutnya pada pihak polis. 

Menurut Farah, dia mendapat perkhidmatan pengasuh berkenaan dari Facebook Kelab Pengasuh Perak dan baru saja berpindah ke Ipoh sejak September lalu. 

"Suami saya belum pulih dari kemalangan pada bulan Oktober lalu, masalah ini pula timbul. Bukan saya nak meraih simpati, tetapi ada hikmahnya semua kejadian ini. Doakan anak-anak dan suami saya cepat sembuh. 

"Terima kasih kepada semua yang prihatin dan membantu kami sekeluarga," katanya. - The Reporter
Load disqus comments

0 comments