Thursday, December 29, 2016

Isteri, jangan terlalu mudah dipujuk rayu - Mizan


Oleh Mizan Dzai

Kian hari makin banyak kes isteri diceraikan. Sangat banyak even yang PM aku pun ramai. Aku sebagai seorang suami dan ayah, kesian tengok nasib nasib janda di luar sana. Bukan kesian pasal apa, kebanyakkan yang dicerai adalah sebab dapat lelaki yang tak guna dan tak boleh pakai.

Pukul anak isteri, hisap dadah sampai tak sedar diri, tak bekerja, pemalas Nauzubillah, melepak dari petang sampai ke tengah pagi, lebih utamakan kawan kawan yang tak bermanfaat dari anak isteri dan bermacam lagi.

JANGAN TERLALU MUDAH DIPUJUK RAYU

Kalau boleh diselamatkan, masih di peringkat awal, usahakanlah sesuatu. Jangan mudah berpisah, fikirkan anak anak tapi kalau dah teruk sangat sampai kau dan anak anak jadi punching bag tiap hari, angkat jelah kaki. Sampai bila?

Sebagai isteri, sebagai ibu kau jangan terlalu mudah dipujuk rayu. Yang aku tak faham, kau dah lunyai dikerjakan pagi petang siang malam, makian dan jeritan jadi santapan pun kau boleh tahan berpuluh tahun. Setiap orang buat silap tapi bukan setiap hari setiap masa, dan bukan kesilapan yang sama berulang kali.

Ada sebab kenapa Allah benarkan penceraian itu walaupun Dia tak suka. Sebab apa? Sebab untuk melindungi kaum wanita yang ditindas. Terutamanya bersuamikan jerangkung kering ikan masin yang kerjanya menghisap dadah 24/7. Kerja tidak apa pun tidak.

MULAKAN HIDUP BARU

Masa depan dan perjalanan kau jauh lagi. Jangan toleh kebelakang, mulakan kehidupan yang baru bersama anak anak. Jangan biar akal fikiran ditutup dengan cinta yang tak bersambut seperti dulu. Kau yang merana dan mempertaruhkan masa depan anak anak.

Zaman sekarang zaman orang cari duit. Zaman orang nak berikan yang terbaik untuk keluarga. Kalau kau tak nampak pada pasangan kau, ubahlah. Usahalah. Jangan putus asa, cuma bila dah lunyai dikerjakan berulang kali, sampai bila nak macam tu?

Ada jodoh yang lebih baik tengah sesat, kau pergi tolong jodoh baru kau sampai cepat sikit atau fokus pada kewangan untuk diri sendiri dan anak anak. Jangan takut, wanita dicipta sesempurna dan sehebat kehendakNya. Beranikan diri untuk berdikari, beranikan diri untuk mulakan hidup baru.

CINTA TAK SEMESTINYA BERSAMA HINGGA MATI

Sabar kau sebagai isteri dan ibu ada batasnya. Lelaki ni kalau dah tak ada depan mata baru nak menyesal. Baru nak menangis air mata darah. Padan dengan muka dia. Aku setuju kalau suami tengah susah, tengah diuji dengan kewangan dan cabaran untuk kau sama sama bersusah payah tapi kalau makian dan pukulan jadi makanan, itu setan.

Maaf kerana menggunakan perkataan Janda sebagai rujukan, cuma aku nak pembaca senang faham. Semoga kau orang kaum isteri dan ibu terus kuat dan melangkah ke hadapan jika ditindas oleh lelaki yang dayus dan tak guna.

Jangan takut, percaturan Allah itu sempurna. Maha Hebat dan Maha Berkuasa. Yakin dan bersangka baik denganNya, in shaa Allah dipermudahkan. Cinta tak semestinya memiliki dan tak semestinya bersama hingga mati, kerana hanya cinta pada Allah yang kekal abadi. - Mizan Dzai
Load disqus comments

0 comments