Soalan:
Di rumah saya banyak tikus dan saya sering memasang jerat bagi menangkap tikus. Apakah hukum membunuh binatang ini kerana ianya terlampau banyak dan boleh membahayakan kesihatan kami sekeluarga?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Tikus termasuk di dalam binatang yang disunatkan untuk dibunuh kerana tabiatnya yang hidup dalam keadaan yang kotor serta jijik bahkan tikus juga boleh membawa kerosakan. Tikus termasuk di dalam al-Fawasiq al-Khams (haiwan perosak yang lima) berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW telah bersabda:
خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْعَقْرَبُ وَالْفَارَةُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ
Maksudnya: Khams fawasiq (haiwan perosak yang lima) yang perlu dibunuh meskipun di dalam keadaan berihram; kala jengking, tikus, burung ‘kite’ (burung pemangsa seakan helang), burung gagak dan anjing ganas.
Riwayat Muslim (1198)
Al-Imam Malik Rahimahullah mengatakan bahawa makna bagi hadis di atas adalah kerana keadaan serta tabiat khams fawasiq tersebut adalah mendatangkan gangguan, membahayakan dan juga memudaratkan maka dibolehkan untuk dibunuh bagi mereka yang berihram.[1]
Oleh itu, jika dalam keadaan berihram sekalipun dibenarkan untuk membunuh khams fawasiq ini, maka dalam keadaan bukan berihram pula, maka ianya juga dibenarkan.
Syeikh Nawawi al-Bantani Rahimahullah di dalam kitabnya, Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja mengatakan disunatkan untuk membunuh binatang yang mendatangkan gangguan iaitu secara tabiatnya seperti al-Fawasiq al-Khams. Ini kerana keadaannya yang mendatangkan rasa jijik, kotor dan juga mengangganggu.[2]
Meskipun terdapat keharusan membunuh khams fawasiq ini, namun terdapat juga adab yang diajarkan oleh Islam tatkala dalam membunuh sesuatu. Ini berdasarkan hadis yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: Allah SWT telah menetapkan ihsan pada setiap perkara. Sekiranya kamu membunuh maka perelokkanlah bunuhan tersebut. Sekiranya kamu menyembelih haiwan maka perelokkanlah sembelihan tersebut dan setiap dari kalian perlu menajamkan pisau dan berikan kerehatan pada sembelihan (bagi mengurangkan kesakitan).
Riwayat Muslim (1955)
Oleh itu meletakkan ihsan pada setiap sesuatu adalah bertepatan dengan hadis di atas meskipun dalam membunuh binatang perosak seperti tikus dan juga yang lainnya. Syeikh al-Mulla Ali al-Qari menyebutkan bahawa ihsan dalam membunuh itu adalah dengan mencari jalan yang paling mudah untuk membunuh dan paling kurang rasa sakit penderitaannya.[3]
Meskipun menggunakan jerat, setelah didapati tikus tersebut maka segeralah membunuhnya dan janganlah membiarkannya mati dalam keadaan terseksa kerana beramal dengan hadis Nabi SAW yang menetapkan bahawa pada setiap sesuatu itu terdapatnya ihsan.
Kesimpulan
Hukum membunuh binatang perosak adalah dibolehkan kerana boleh mendatangkan gangguan ditambah lagi dengan tabiat haiwan perosak tersebut yang jelas membawa keburukan baik dari persekitaran mahupun kesihatan. Meskipun syara’ mengharuskan membunuh haiwan perosak ini, maka berlaku ihsan dalam membunuhnya juga adalah dituntut berdasarkan hadis yang telah dikemukakan pada perbincangan di atas.
Hendaklah mereka yang memasang jerat sentiasa memantau keadaan jerat tersebut dan jika didapati mengena sasaran, maka segeralah membunuhnya. Sekiranya terdapat keuzuran seperti tertidur dan juga keluar bekerja sehingga tidak dapat melihat keadaan jerat maka tidaklah menjadi kesalahan. Di samping itu, hendaklah juga bagi kita untuk sentiasa menjaga kebersihan agar fawasiq ini dapat kita hindari kedatangannya. Wallahu a’lam.
Sumber: Mufti Wilayah
via Bin Usrah
0 comments