Monday, April 24, 2017

Tunggu Kaya Baru Bersedekah

Jika kita menunggu untuk jadi kaya baru hendak bersedekah, sampai bila kita akan terus menunggu?

Hari biasa. Bangun pagi, sarapan bersama rakan atau keluarga, selepas itu kita akan keluar, sama ada mulakan hari dengan bekerja atau memasuki kuliah.

Sampai tengah hari, mesti ada yang mengajak kita keluar makan, jadi kita pun ikut ke kedai makan. Ambil nasi dan lauk, order air sejuk, baru duduk untuk menjamah makanan, tiba-tiba ada seseorang datang memberi salam.

Meminta sedikit sumbangan wang.

“Ah, sudah,” detik si hati.

Menjelang Maghrib, kita menjejakkan kaki ke masjid. Solat berjemaah, berzikir bersama para jemaah.

Selesai, kita pun keluar dari ruang solat dan ada pula tabung masjid di tengah jalan seolah-olah memberi salam. Menjemput kita menyedekahkan sedikit wang.

Pada masa itu, tibalah bisikan hati. “Lain kali saya derma. Sekarang sesak sikit. InsyaAllah, dapat gaji atau dah dapat kerja nanti, saya akan sedekahkan sedikit.”

Kita membiarkan peminta sedekah itu berlalu pergi. Kita berjalan melepasi tabung masjid tanpa menderma.

Sejam atau dua jam kemudian, kita menggunakan RM2 untuk membeli coklat, atau order air panas atau sejuk di kedai makan, atau mungkin kita perasan ada RM2 di dalam kereta atau di atas meja yang entah berapa lama duit itu tidak digunakan.

RM2. Apalah sangat yang masjid atau peminta sedekah itu boleh manfaatkan dengan RM2?

Secara hakikat bukan itu persoalannya.

Persoalannya adalah tentang hati kita. Kesanggupan diri mengambil sebahagian dari harta yang Allah pinjamkan kepada kita untuk disedekahkan kepada orang lain. Jangan pernah terlupa, di dalam rezeki kita, ada juga tercatit rezeki orang lain meski tidak tertulis secara zahir.

Tanyalah kepada mereka yang selalu bersedekah. Perhatikan mereka yang sentiasa menderma, tidak kira banyak atau sedikit. Pasti ada sesuatu yang ‘pelik’ tentang mereka.

Ada kemungkinan mereka hidup lebih bahagia. Hidup kelihatan lebih teratur, walaupun mungkin mereka tidak kaya harta tetapi mereka kaya pada hati. Kaya pada jiwa. Tidak pernah mengeluh dan sentiasa bersyukur.

Allah SWT telah berjanji, setiap yang kita infakkan ke jalan Allah SWT pasti dibalas.

Ramai juga yang selalu berpesan: Jangan tunggu kaya baru hendak sedekah. Sedekahlah, baru kita akan kaya.

Dengan sedekah, hati kita akan dijaga. Nafsu untuk memiliki tidak akan menguasai diri. Barulah kita bersedia untuk rezeki yang bakal datang, rezeki yang akan dimanfaatkan dan bukan dibazirkan begitu sahaja.

Hati-hati dengan rezeki yang seringkali bocor.

Mungkin sekali kerana rezeki kita tidak disalurkan kepada mereka yang sepatutnya mendapat manfaat dari sebahagian harta kita.

via Bin Usrah
Load disqus comments

0 comments