Wednesday, May 25, 2016

"KAKAK, ABI MINTA MAAF........"



Dulu saya ajar mengaji di surau selepas maghrib. Kasihan pada isteri, nak menyusu Nusaibah lagi, nak layan Insyirah lagi, waktu maghrib pendek, solat maghrib pun menjadi kelam kabut.

Pernah sekali sampai tak sempat nak solat. Rasa nak buat pahala bila ajar mengaji, rupanya dapat odsa sebab abaikan isteri sehingga terpaksa meninggalkan solat. Maka saya buat keputusan untuk mengajar selepas isyak. Jadi balik dari surau solat maghrib, saya boleh tolong jaga anak-anak.

Kawan-kawan, kalau anak-anak masih kecil dan menyusu, isteri sebenarnya menanggung beban yang berat pada masa itu. Cuma kita yang rasa seperti biasa-biasa sahaja. Menyusu itu memenatkan. Jadi sebagai berterima kasih di atas semua itu, apa salahnya kita menolong basuh berak anak, pakaikan pampers dan baju atau tolong mana-mana yang patut. Semua itu senang sahaja jika kita biasa buat.

Kadang-kadang saya sedih bila tengok pengorbanan Aimi Nazihah menyusu. Bila tengok muka masam sebab terlalu penat, saya akan buatkan air untuk dia. Biasanya selepas itu dia akan boleh senyum semula dan bersemangat. Tak rugi pun kita merendahkan ego untuk seorang yang banyak berjasa kepada kita dan anak-anak.

Bila kami ambil Insyirah dan Nusaibah dari rumah pengasuh, kami berhenti melayan handphone kecuali bila terlalu penting. Sekarang masa untuk anak pula. Dah balik rumah,

"Kakak, jom kita bernyanyi nak?"

Nyanyilah lagi alif ba ta, erti al-fatihah, Didi and Friends. Nyanyilah bersama-sama. Seronok sangat Insyirah bila abi dan umi nyanyi untuk dia. Ajak Insyirah mewarna buku-buku.

"Yeaaa! Kakak pandai! Kakak, kakak ini cantik la. Rajinnya kakak,"

Semua itu membuatkan masa kita dengan anak-anak sangat berkualiti.

Biasanya saya banyak menerima mesej di Facebook untuk menerangkan tentang Public Mutual. Kadang-kadang sampai tengah-tengah malam pun ada lagi yang mesej. Jam 9-10 begitu, saya akan menidurkan Insyirah. Aimi Nazihah tidurkan Nusaibah.

Kadang-kadang dilema juga, nak jawab ke tak. Kalau tak jawab, terlepas client. Kalau boleh dibalas, saya akan balas. Tetapi selalunya saya akan tidurkan Insyirah dulu. Client itu nombor dua. InshaAllah kalau kita dahulukan tuntutan agama, Allah akan tambah rezeki kita.

Alhamdulillah, walaupun ramai client yang saya lambat balas mesej, tetapi mereka tak marah pun. Pernah sekali itu saya keluar berjumpa dengan client pada jam 9 malam. Balik rumah jam 12 malam sebab tempat itu jauh dari rumah. Sampai di rumah, isteri ceritakan apa yang berlaku pada Insyirah. Isteri saya tak boleh beri perhatian sangat pada Insyirah sebab Nusaibah sedang menangis.

Insyirah duduk bermain di belakang umi, tiba-tiba terdengar bunyi hentakan sesuatu di lantai. Umi berpaling ke belakang, Insyirah hantuk kepala ke lantai. Rupa-rupanya Insyirah buat begitu kerana umi tak dapat layan dia, kerana umi sedang memujuk baby yang sedang menangis.

Ya Allah, sedihnya saya. Kakak, abi minta maaf. Abi sayang kakak.

Terima kasih Aimi Nazihah sebab jadi isteri dan umi yang terbaik untuk anak-anak. - Nik Mohd Fahmi
Load disqus comments

0 comments