PUTRAJAYA - Kasihan melihat anak kecil ini yang mempunyai parut di perut akibat diberi makan makanan pejal oleh ibunya seawal usia 3 bulan.
Menurut Shahrinie Othman yang memuat naik kisah adik Nur Fathia Maisarah, bayi itu diberi makanan nestum beras oleh ibunya ketika berusia tiga bulan. Namun, di usia enam bulan, Fathia mula mengalami kesakitan.
"Saya bagi cereal (nestum beras) baby umur tiga bulan. Campur sikit susu dengan nestum, bagi anak kenyang dan tidur lama. Sebelum ini kakak dan abang dia okay sahaja, sebab itu saya bagi dia makan juga.
"Tetapi usus dia tidak dapat menerimanya. Sebab itulah jadi begini," kata ibunya yang sedih melihat keadaan perut anaknya yang berparut akibat kesilapannya itu.
"Saya menyesal dah, tetapi menyesal kemudian tiada gunanya. Benda dah jadi. Nasib Allah masih panjangkan umur baby saya dan bagi saya peluang untuk menjaga dia. Hanya disebabkan bagi makan bawah enam bulan, saya hampir kehilangan baby saya. Saya menyebabkan dia menderita," katanya.
Justeru, ibu Fathia memberi peringatan kepada ibu-ibu yang lain agar tidak memberi anak di bawah usia enam bulan makan makanan pejal jika tidak mahu perut bayi mereka menjadi seperti anaknya.
"Tak sedih ke tengok baby yang lahir dengan normal tiba-tiba macam tak normal, luka sana sini. Ingat ibu-ibu sekalian, kita tidak tahu bila dan dengan siapa Allah turunkan ujian. Semoga dapat menjadi pengajaran untuk ibu-ibu semua," katanya. - The Reporter
0 comments