ALOR SETAR, KEDAH - Empat individu yang membelasah seorang lelaki sampai mati kerana didakwa mencabul di kompleks beli-belah di Jalan Putra, bulan lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Rabu lalu atas pertuduhan membunuh, lapor Harian Metro.
Tertuduh, Farah Waheda Abu Bakar, 21, Mohd Shahrul Ikhwan Shahbani, 22, Hor Yong Wei, 23, dan Chee Woie Yong, 29, mengangguk faham sebaik kertas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Tiga tertuduh kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan, namun Farah Waheda menitiskan air mata. Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkod daripada semua tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh bersama lima lagi suspek yang masih bebas didakwa melakukan pembunuhan itu dengan niat dan menyebabkan Mohammad Fisol Abu, 31, mati di Plaza Sentosa, jam 4 petang, 28 Mei lalu.
Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Rifaie Mohamed Riyaluddin melakukan pendakwaan, manakala peguam Pyara Singh dan Lim Wei Yong masing-masing mewakili Hor Yong dan Chee Woie. Dua lagi tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta hasil bedah siasat. Kesemua tertuduh juga tidak dibenarkan diikat jamin menyebabkan Farah Waheda dan Mohd Shahrul tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga.
Laporan berkaitan:
- Suspek cabul wanita dibelasah sampai koma
- Lelaki dipukul sampai koma kerana didakwa mencabul, meninggal dunia
- Dia tutup mulut, tumbuk perut dan muka - mangsa
0 comments