Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi hari ini menyebabkan maklumat berkenaan penjagaan kesihatan mulut dan rawatan pergigian mudah didapati dan kini hanya berada di hujung jari sahaja. Namun begitu , siapa sangka masih ada yang mengambil kesempatan dengan menyamar menjadi “doktor gigi” yang kononnya ingin membantu sesetengah individu tanpa menyedari apakah kesan buruk terhadap individu yang menjadi pelanggan atau ‘pesakit’ mereka.
Pemakaian pendakap gigi yang dilakukan oleh doktor gigi palsu yang tidak bertauliah adalah amat tidak bertanggungjawab. Niat mereka yang baik seperti meletakkan kos yang murah berbanding dengan klinik pergigian yang diiktiraf tidak sepatutnya menjadi alasan buat mereka sewenang-sewenangnya menjadi doktor gigi palsu.
Malah doktor gigi palsu juga berani mengiklankan khidmat pemasangan pendakap gigi palsu, proses pemutihan gigi dan lain-lain lagi di Instagram, Facebook dan media sosial yang lain bagi menarik perhatian mereka yang terdesak menginginkan rawatan yang murah!
Pernahkah anda terfikir bahawa peralatan yang digunakan oleh doktor gigi palsu ini sudah dinyahkuman atau tidak?
Bolehkah anda bayangkan peralatan yang digunakan mungkin telah digunapakai di dalam mulut pelanggan lain, yang anda tidak tahu latar belakang masalah kesihatan mereka, dimasukkan ke dalam mulut anda sendiri? Aduhai! Betapa banyaknya penyakit yang boleh merebak melalui air liur!
Masyarakat juga harus menyedari bahawa membiarkan diri dirawat oleh mereka yang tidak bertauliah dalam bidang pergigian akan meningkatkan risiko mendapat penyakit oral seperti penyakit gusi dan kanser mulut, mahupun penyakit berjangkit seperti HIV, AIDS, Hepatitis, Tuberkulosis dan lain-lain lagi.
Kepada mereka yang mengimpikan gigi teratur dan menginginkan rawatan pendakap gigi, silalah dapatkan rawatan daripada doktor gigi yang diiktiraf dan bukannya membuat keputusan dengan memilih jalan yang singkat dengan menghubungi doktor gigi palsu mahupun mereka yang tidak bertauliah.
Sedarkah anda, pemasangan pendakap gigi oleh mereka yang tidak bertauliah akan menyebabkan gusi bengkak, gigi menjadi longgar dan akhirnya mengakibatkan kehilangan gigi?
Sudahlah duit telah dilaburkan untuk pemakaian pendakap gigi, kini terpaksa pula menanggung kesan buruk dan kos rawatan tambahan untuk membaik pulih gusi dan gigi yang ‘dirosakkan’ oleh doktor gigi palsu.
Bolehkah anda bayangkan sekiranya anda mempunyai sebuah kereta yang mewah, sanggupkah anda menyerahkan ia untuk diservis atau dibaikpulih oleh mereka yang hanya mempelajari ilmu kereta melalui pemerhatian seperti di Youtube tanpa mendapat latihan yang mencukupi? Sudah tentu tidak!
Begitu juga dengan diri kita sendiri. Hargailah apa yang telah Tuhan berikan kepada kita. Mungkin anda kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan pemasangan pendakap gigi yang mencapai harga beribu, tetapi berbaloikah anda membiarkan mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan ke atas diri anda?
Berbaloikah sekiranya rawatan yang diberikan hanya menambahburukkan keadaan kesihatan mulut anda? Buatlah pilihan yang terbaik untuk diri anda sendiri. Usah terburu-buru mengejar kecantikan dan tren masa kini, kelak diri anda sendiri yang binasa.
The post Hati-Hati! Doktor Gigi Palsu! appeared first on LelakiSihat.Com - Tips & Info Kesihatan Lelaki.
0 comments