Semalam dunia hiburan dikejutkan dengan berita kematian ibu kesayangan Datuk Aznil Nawawi yang menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat sakit tua di Pusat Perubatan Prince Court. Pada masa yang sama, Pak Nil turut meluahkan rasa syukur kerana berkesempatan menjaga ibunya, Norbaiti Surur hingga ke akhir hayat beliau.
BACA: Hampir Sebulan, Produk Aznil Nawawi Raih Lebih RM500,000
“Kami adik-beradik juga dapat berkumpul dan bersama-sama menjaganya hingga saat beliau akhirnya pergi mengadap Tuhan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Tahun-tahun terakhirnya, saya bersyukur dapat bersamanya. Biarpun ibu tidak lagi boleh berkomunikasi seperti orang lain, beliau masih boleh memberikan maklum balas”
“Sampai akhir hayatnya, memang begitulah keadaan dirinya. Setiap doa dan apa yang kami panjatkan, termasuk memohon maaf, beliau akan memberi maklum balas. Itu sudah cukup bererti kepada kami. Semangat ukhuwah yang ada pada kami adik-beradik juga sudah menjadi resam. Itulah juga ajaran arwah bapa dan ibu,” katanya kepada Berita Harian Online.
Terdahulu, Norbaiti telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.56 pagi hari Isnin akibat sakit tua di Pusat Perubatan Prince Court. Jenazah beliau selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat, sekitar jam 10.45 pagi. Arwah yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 90 tahun, meninggalkan tujuh anak, 17 cucu dan empat cicit.
Berita kematian ibu kesayangannya itu telah dikongsi oleh Pak Nil sendiri di laman sosial Instagram beliau. Dalam posting terbabit rata-rata peminat turut sama bersimpati dan membanjiri akaun beliau dengan ucapan takziah serta mendoakan kesejahteraan arwah. Tidak ketinggalan juga, ada yang memberi kata-kata semangan buat Pak Nil. (rkty/w)
0 comments