Monday, May 2, 2016

RESTORAN TAHFIZ PAKSA IKAN PATIN BERPUASA


Ikan patin yang dimasak di Restoran Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran (Mabiq) akan 'dipuasakan' selama tiga hingga lima hari sebelum dijual dan dimasak pais atau gulai tempoyak.

DEMI memastikan keenakan hidangan ikan patinnya, sebuah restoran di Kuantan yang berkonsepkan kebajikan buat pelajar tahfiz dilapor memaksa ikan-ikan yang akan dimasak “berpuasa” sehingga lima hari.

Pengerusi Restoran Maahad Bahasa dan Ilmu al-Quran (Mabiq) Jamaluddin Abdul Jabbar berkata, itu antara syarat yang ditetapkan kepada penjual dan pembekal sebelum pihaknya membeli ikan patin sangkar di Paloh Hinai.

“Ikan yang tidak ‘dipuasakan’ akan cepat berbau busuk dan pelanggan yang makan juga boleh rasa perbezaan antara ikan yang ‘puasa’ dan tidak.

“Ini kerana palet makanan yang dimakan ikan masih belum hadam,” katanya seperti dilaporkan portal Sinar Harian.

Ikan yang ‘dipuasakan’ itu bukan sahaja untuk menghilangkan bau hanyir malah menjadikannya lebih sedap dimakan, tambahnya.

Restoran yang terletak di Tanjung Lumpur itu menggunakan kira-kira 600 kilogram ikan patin sangkar untuk dimasak oleh tiga tukang masak yang turut menyediakan 32 jenis lauk lain.

Dibuka setiap hari kecuali Jumaat, restoran ini mula dikunjungi pelanggan seawal jam 10.30 pagi hingga 4 petang dan setiap lauk yang dimasak hanya untuk tempoh satu jam, seterusnya akan dimasak baharu jika kehabisan.

“Kami tidak menjual sejenis lauk yang dimasak dengan banyak dari pagi sampai petang. Biasanya satu jam saja untuk satu lauk,” katanya.

Jamaluddin berkata keuntungan restoran diserahkan kepada maahad yang diusahakannya bagi menampung kos pengajian 150 pelajar tahfiz.

Katanya, purata 150 orang mengunjungi restoran itu setiap hari bekerja dan jumlah tersebut meningkat sekali ganda pada cuti sekolah dan hujung minggu. – SUMBER
Load disqus comments

0 comments