Friday, January 20, 2017

Dahi bayi terkoyak dicampak pengasuh taska


SERDANG, SELANGOR - Kejam, tidak berhati perut! Itu tindakan seorang pembantu taska yang dikesan mencampakkan seorang bayi lelaki sehingga menyebabkan kepala mangsa terkoyak, lapor Harian Metro.

Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi, 15 November 2016, ketika mangsa dihantar untuk dijaga di sebuah taska di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan. 

Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia tujuh bulan terpaksa menerima jahitan di kepala, kesan daripada tindakan tidak bertanggungjawab suspek. 

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, kejadian itu disedari oleh ibu bapa mangsa sebaik mendapati kepala bayi mereka luka ketika berada di bawah jagaan pekerja taska berkenaan. 

"Berdasarkan keterangan ibu bapa mangsa, pembantu taska itu dikenali sebagai Rohana Mustafa, 25, berasal dari Tanah Merah, Kelanta. Dia dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada bayi itu. 

"Wanita terbabit dikatakan mencampak bayi itu ke atas tilam nipis menyebabkan bayi berkenaan mengelongsor laju sehingga terkena pada bucu dinding di sebuah bilik di taska berkenaan. Kejadian itu menyebabkan bayi lelaki berkenaan luka di kepala dan menerima tujuh jahitan di Hospital Putrajaya. 

"Tindakan wanita terbabit turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV), namun rakaman itu dipadamkan pemilik taska berkenaan," katanya yang memaklumkan mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Seri Kembangan. 

Megat berkata, pada mulanya ibu bapa mangsa mengadakan perbincangan dengan pemilik taska itu untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Namun tiada kata putus dipersetujui kedua-dua pihak. 

Permintaan ibu bapa mangsa mendapatkan rakaman CCTV itu ditolak menyebabkan mereka membuat laporan polis.

"Pada masa yang sama, pemilik taska itu juga turut memecat wanita itu yang dipercayai melarikan diri ke kampung halaman di Tanah Merah," katanya. 

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek, tampil membantu siasatan. 
Load disqus comments

0 comments