Tuesday, January 31, 2017

HUKUM LELAKI MEMAKAI INAI


Soalan:
Apakah hukumnya bagi lelaki memakai inai? Kita lihat ketika majlis perkahwinan, selalunya pengantin lelaki akan diinaikan jarinya.

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Inai adalah perhiasan bagi wanita bukannya untuk lelaki. Dalam sebuah hadith, diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha:
أَوْمَتِ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَبَضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَدَهُ فَقَالَ: ‏ مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ‏.‏ قَالَتْ بَلِ امْرَأَةٌ ‏.‏ قَالَ: لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ.‏ يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ.
Maksudnya: Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?”. Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”.
Riwayat Abu Daud (4166), al-Nasa’ie di dalam al-Kubra (9311) & Ahmad di dalam Musnadnya (26258). Al-Albaani menilainya Hasan.

Di dalam ‘Aun al-Ma’bud disebutkan bahawa hadith di atas menunjukkan kepada tersangat digalakkan bagi wanita untuk mengenakan inai.[1] Al-Sanadi mula menyebutkan bahawa yang disebutkan dengan (لَوْ كُنْتِ امْرَأَةًitu membawa makna: “Sekiranya kamu meraikan syiar bagi wanita, nescaya kamu akan mengenakan inai pada tanganmu”.
Setelah mengetahui bahawa inai itu adalah perhiasan bagi wanita, maka dalam sebuah hadith yang lain terdapat larangan bagi menyerupai wanita. Sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: Rasulullah SAW telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki.
Riwayat Al-Bukhari (5885)

Al-Imam Ibn Battal Rahimahullah menyebutkan bahawa al-Tabari Rahimahullah mengatakan bahawa pada hadith di atas terdapat fiqhnya iaitu tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita pada sudut pakaian, perhiasan yang dikhususkan buat wanita.[2]
Dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah SAW pernah membuang daerah lelaki mukhannas yang mengenakan inai pada kedua tangan dan kakinya. Daripada Abu Hurairah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أُتِيَ بِمُخَنَّثٍ قَدْ خَضَبَ يَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ بِالْحِنَّاءِ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم:  مَا بَالُ هَذَا‏.‏ فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ يَتَشَبَّهُ بِالنِّسَاءِ.‏ فَأُمِرَ بِهِ فَنُفِيَ إِلَى النَّقِيعِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ نَقْتُلُهُ فَقَالَ:‏ إِنِّي نُهِيتُ عَنْ قَتْلِ الْمُصَلِّينَ.
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW telah didatangkan kepada Baginda seorang mukhannas[3] yang mana telah menginai kedua tangan dan kakinya. Maka berkata Nabi SAW: “Apa halnya dengan lelaki ini?”. Maka dikatakan: “Ya Rasulullah, lelaki ini menyerupai wanita”. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan agar lelaki tersebut di buang daerah ke al-Naqii’. Maka mereka berkata: “Ya Rasulullah, mengapa kita tidak membunuhnya?”. Maka jawab Baginda: “Sesungguhnya aku dilarang untuk membunuh orang yang solat”.
Riwayat Abu Daud (4928). Al-Arnout mengatakan sanadnya dhoif (lemah).

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’:
أَمَّا خِضَابُ الْيَدَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ بِالْحِنَّاءِ فَمُسْتَحَبٌّ لِلْمُتَزَوِّجَةِ مِنْ النِّسَاءِ: لِلْأَحَادِيثِ الْمَشْهُورَةِ فِيهِ وَهُوَ حَرَامٌ عَلَى الرِّجَالِ إلَّا لِحَاجَةِ التَّدَاوِي
Maksudnya: Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dikalangan perempuan berdasarkan hadith-hadith masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat.
[Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, 1/294]

Begitu juga al-Imam al-Syarwani Rahimahullah di dalam hasyiahnya bagi kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menyatakan perkara yang sama iaitu digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin untuk berinai dan haram ke atas lelaki.[4]

Kesimpulan
Berdasarkan kenyataan di atas. Kami cenderung mengatakan bahawa tidak dibenarkan bagi lelaki untuk mengenakan inai pada kedua tangan atau kaki mereka dan digalakkan bagi perempuan yang telah berkahwin untuk berinai bagi tujuan berhias. Ini kerana berinai itu termasuk di dalam perhiasan wanita.
Oleh itu, tidak boleh bagi lelaki untuk berinai samaada bagi tujuan perkahwinan ataupun selainnya atas dasar berhias, agar nampak cantik dan sebagainya melainkan untuk tujuan berubat yang mana dengan berinai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu.
Adapaun bagi lelaki untuk mengenakan inai pada rambut, maka hal yang demikian itu tiada masalah. Ini kerana terdapat hadith yang membenarkannya. Wallahu a’lam.


Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

14 Disember 2016 bersamaan 14 Rabi’ al-Awwal 1438 H.


[1] Lihat ‘Aun al-Ma’bud. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, (11/149).
[2] Lihat Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal. Maktabah al-Rusyd, (9/140).
[3] Mukhannas adalah golongan lelaki yang meniru wanita dari sudut akhlak, percakapan dan juga pergerakan yang mana pada asal penciptaannya bukanlah begitu. Ianya dibuat-buat agar nampak seperti wanita.
[4] Lihat Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj li al-Syarwani. Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, (4/59).


via Bin Usrah
Load disqus comments

0 comments