Wednesday, January 25, 2017

EKSKLUSIF: Lelaki ini berjaya menemui ibunya menggunakan Google Earth selepas terpisah 25 tahun


INDIA - Hati ibu mana yang tidak sedih bila terpisah dengan anaknya selama bertahun-tahun tanpa mengetahui sebarang khabar berita. Namun, selepas terpisah selama 25 tahun, dua beranak terbabit disatukan semula selepas anaknya berjaya mencari beliau menggunakan Google Earth. 

Fatima Munshi, 60, menyangka dia akan kehilangan anaknya selepas kanak-kanak itu hilang pada 1987 ketika mereka sedang mencari makanan. 

Difahamkan, Saroo, 5, bersama abangnya, Guddu, 14, telah pergi ke sebuah pekan di Burhanpur dengan menaiki kereta api untuk meminta sedekah kerana keluarga mereka sangat miskin. Namun, Saroo yang kepenatan dan Guddu mengarahkannya untuk tidur sebentar di stesen itu sementara dia pergi meminta sedekah. Dan itulah kali terakhir dia melihat Saroo.

Sedutan dalam filem Lion, adaptasi dari buku ditulis oleh Saroo
Apabila terbangun dari tidur, Saroo mendapati dirinya keseorangan. Dia cuba mencari abangnya, namun gagal. Selama empat minggu Saroo hidup di jalanan dan berharap agar ada individu yang mampu membawanya pulang ke rumahnya. 

Dalam tempoh itu juga, Saroo pernah ditawarkan tempat tinggal oleh seorang pekerja stesen kereta api tersebut. Tetapi lelaki itu cuba mengambil kesempatan untuk mencabulnya. Disebabkan itu Saroo terpaksa melarikan diri dari lelaki itu dan bersembunyi dalam paip yang berbau busuk dan dipenuhi dengan sarang labah-labah. 

Saroo akhirnya diambil dan dibawa ke rumah anak yatim, Nava Jeevan, di mana tempatnya hidup dalam keadaan selesa selama dua bulan sebelum dijadikan sebagai anak angkat Sue dan John Brierley. 

Saroo dan keluarga angkatnya
Selepas beberapa tahun berlalu, Saroo hidup bahagia dengan keluarga angkatnya di Australia. Namun dia tidak pernah melupakan keluarga dan kampungnya. 

Beberapa tahun kemudian, Saroo mula mencari lokasi kampungnya dalam Google Earth setiap malam. Sehingga tahun 2011, Saroo berjaya mengesan stesen kereta api yang diingatnya seperti nama Berampur. 

Saroo kini berusia 36 tahun
"Apabila saya menekan simbul biru yang memaparkan nama bandar itu Burhanpur, jantung saya hampir berhenti. Saya teruja dan tertanya-tanya apakah ini tempat tinggal keluarga asal saya? Hanya satu saja cara untuk memastikannya," katanya. 

Saroo kemudian kembali ke India dan berjaya menemui ibunya pada tahun 2012. Fatima tahu Saroo adalah anaknya sebaik saja melihat kesan parut di dahinya. 

"Saya sedang membasuh pinggan di tempat orang dan tiba-tiba jiran saya datang dan menjerit bahawa anak saya telah pulang. Saya menjerit padanya jangan mainkan perasaan saya. Sehinggalah dia mengheret saya keluar dari rumah dan bertemu dengan Saroo. 

"Saya terkedu dan tergamam seketika bila bertemu dengannya (Saroo). Matanya sama, parut di dahinya juga membuktikan bahawa dia adalah anak saya. Akhirnya doa saya dimakbulkan dan ia seperti bertemu dengan tuhan. 

Keluarga Saroo merakam gambar kenangan bersama
"Perkataan pertama yang dia sebut, 'Ma' dan kami terus berpelukan selama beberapa jam. Kami tidak bercakap, hanya memeluk masing-masing sebelum jiran-jiran mulai meraikan kegembiraan ini. 

"Inilah saat-saat terindah dalam hidup saya. Saya sangat gembira yang dia masih sayang pada kami dan tidak berubah. Saya masak segala makanan kesukaannya seperti telur kari, dal dan ikan. Saya tahu dia masih menyukai masakan saya, malah dia meminta resepi itu. 

"Sekarang kami kerap berbual dengan bantuan penterjemah. Saya harap dapat bertemu dengan dia lagi. Saya tak sabar nak berjumpa dengan dia. Saya juga berterima kasih kepada keluarga Brierley yang membesarkan anak saya dengan baik. Saya gembira yang Saroo bukan sahaja ada seorang ibu, malah ada dua ibu yang amat menyayanginya. 



"Setiap hari saya rasa seperti mati dan hidup seperti tidak lengkap serta menyakitkan tanpa dia selama 25 tahun. Saya cuba mencarinya di setiap tempat, namun gagal menemuinya," katanya. 

Menurut Fatima, dia enggan meninggalkan tempat tinggal itu kerana bimbang jika suatu hari kelak anaknya itu akan kembali. Selama 25 tahun Fatima hidup dalam kesedihan dan dalam tempoh itu juga dia tidak mengetahui sama ada anaknya itu hidup atau mati. Namun kali ini, segala-galanya sudah terjawab. 

Nicole Kidman memegang watak sebagai Sue Brierley dalam filem Lion
Saroo bersama Dev Patel
Saroo juga menulis tentang kisah hidupnya dan kini telah dijadikan sebagai filem yang dibintangi oleh Nicole Kidman dan Dev Patel. - The Reporter (Sumber asal, Daily Mail)
Load disqus comments

0 comments