Thursday, August 3, 2017

Adam Shahz Ceraikan Fatin Afeefa Talak Satu

Enggan mengeruhkan keadaan, pelakon Adam Shahz menjelaskan bahawa punca penceraian di antara dirinya dan isteri iaitu Fatin Afeefa adalah kerana pergaulan rakan rakan selain menafikan kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga mereka.

BACA: “Bukan Nak Tutup Masalah Rumah Tangga”

“Saya faham, sebelum ini rumah tangga kami pernah bergolak gara-gara isu saya membalas mesej seorang wanita. Demi Allah, di pihak saya, tiada orang ketiga. Kenyataan ini perlu juga dibuat bagi menjelaskan situasi kami yang sebenar, agar tiada lagi pihak yang bertanya”

“Orang tuduh saya macam-macam, kononnya sayalah punca rumah tangga kami berkecai. Apa yang saya boleh katakan, keretakan ini berpunca daripada pergaulan kawan. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak”

“Lagipun kami berbaik dan masih lagi keluar bersama demi anak-anak. Saya tak mahu mengeruhkan keadaan kerana kami saling memerlukan antara satu sama lain untuk membesarkan mereka,” katanya kepada BH Online.

Adam telah menceraikan Fatin dengan talak satu pada 30 Mei lalu di Mahkamah Syariah Petaling Jaya. Sebelum itu, Fatin telah memfailkan perceraian pada 15 Mei lalu di atas sebab tidak lagi mempunyai persefahaman sebagai suami isteri.

Sementara itu Fatin turut memohon maaf kerana terpaksa berdolak-dalik sebelum ini berkaitan status perkahwinan mereka. Katanya, apa yang dilakukan itu atas dasar tidak mahu tertekan.

“Perceraian ini mengajar saya supaya berhati-hati memilih kawan bagi memastikan diri tidak terpengaruh dengan perkara negatif. Selain itu, kita juga tidak tahu agenda di sebalik keikhlasan mereka berkawan dengan kita,” kongsinya.

Adam dan Fatin Afeefa mendirikan rumah tangga pada Disember 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata, Adam Aisy Arrian berusia 4 tahun juga Ivy Herra Sophia, 2 tahun. Semoga kedua dua belah pihak tabah dalam menghadapi hari yang mendatang. (rtky/s)

Load disqus comments

0 comments