Kedengaran seperti merajuk tetapi itulah keputusan yang diambil Atikah Suhaime apabila ingin berehat seketika dari dunia hiburan. Menerusi akaun Instagram, Atikah seolah memberi gambaran bahawa semangatnya sudah hilang setelah beberapa tahun bergelar anak seni.
“Selama lima tahun, kehidupan saya ibarat di awan dan tidak berhubung dengan dunia sebenar. Saya juga sudah ketinggalan banyak hari jadi dan hari perkahwinan, malah ketinggalan hari kelahiran satu-satunya anak saudara saya,” jelasnya kepada Harian Metro.
Dalam kenyataan itu, Atikah turut memberitahu bahawa dirinya sangat merindui kehidupannya yang dulu (sebelum bergelar selebriti), malah katanya pelbagai pengorbanan dilakukannya untuk berada di tahap yang sekarang. Dengan itu, beliau ingin meluangkan masa bersama keluarganya seketika.
Rata-rata peminat terkejut dengan pengakuan yang dibuat serta berharap Atikah akan menemui semangatnya yang telah hilang. Dalam masa yang sama, ada juga peminat yang bersetuju dengan kenyataannya itu dan mendoakan yang terbaik untuk pelakon kesayangan mereka.
Tidak pasti sama ada Atikah memang merajuk dengan industri tanah air atau tidak. Bagaimanapun buat masa sekarang difahakam beliau berada di Singapura bersama keluarga dan enggan memberikan sebarang komen. (rtky/w)
0 comments