Hadir dengan jalan cerita yang segar, filem Kampung Drift dalam masa yang sama sebenarnya turut membawa perubahan dalam industri perfileman tanah air apabila turut sama memaparkan konflik di antara ayah dan juga anak.
Syafie Naswip yang membawa watak Johan dalam filem ini ternyata memberikan lakonan terbaik, selari dengan jiwa remaja yang tercari-cari erti kejayaan dan kehidupan melalui sukan drift.
Bagaimanapun, minatnya itu mendapat tentangan hebat daripada ayahnya, sebelum satu persatu rahsia mengenai masa silam ayahnya berkaitan sukan drift tersebut mula terbongkar.
Malah penglibatan Johan dalam sukan drift itu juga berhadapan jalan sukar apabila dia turut terlibat dalam konflik diri, masalah cinta dan juga drifter hebat lagi ternama dari Kuala Lumpur.
Selain itu, Kampung Drift yang padat dengan aksi ini juga bijak mengadunkan elemen komedi dan juga sains fiksyen sekaligus membuatkan penonton terus melekat sehingga ke akhir cerita.
Filem arahan Nevin Hiong yang diterbitkan oleh Mico Studio (M) Sdn. Bhd. ini menampilkan beberapa barisan pelakon hebat seperti Syafie Naswip, Pekin Ibrahim, Pablo Amirul, Fatin Afeefa dan Syazwan Yunos.
Menjalani penggambaran selama sebulan bermula pada 4 Ogos 2015, antara lokasi yang menjadi pilihan adalah seperti Kampung Gajah (Perak), Janda Baik, Fraser Hill dan Genting Highland (Pahang) serta Lebuhraya Elite USJ (Selangor).
0 comments