Selepas tiga minggu memikirkan nama yang sesuai dan mempunyai maksud yang baik dari segi agama, akhirnya pasangan, Fadzil Zahari dan Yana Samsudin sepakat menamakan bayi sulung mereka, Aisy Mateen. Malah Fadzil mengakui sejak bergelar bapa, beliau merasakan tanggungjawab semakin tinggi namun dirinya semakin matang untuk menguruskan rumah tangga.
BACA: Yana Samsudin Kongsi Kisah Lahirkan Anak Sulung
“Ketika saya dan isteri sedang mencari nama untuk Aisy Mateen, kami seboleh-bolehnya mahu ianya membawa maksud yang baik-baik dan sedap didengar. Selain itu juga, kami juga menginginkan nama yang dipilih betul-betul sesuai dengan dia kerana menurut kata orang tua-tua, nak bagi nama pada anak kenalah teliti, jangan main bubuh saja asal sedap bunyi saja”
“Saya juga ada merujuk dengan teman yang bekerja di JAKIM dan seorang lagi sahabat yang belajar di Mekah tentang nama yang kami pilih untuk anak kami. Alhamdulillah maknanya ‘tidak lari’ seperti yang kami rujuk di dalam buku dan mereka turut memberitahu ‘Mateen’ berasal dari 99 nama Allah,” katanya kepada portal Astro Gempak mengenai perkara berkenaan.
Sementara itu, Fadzil juga memberitahu bahawa dirinya tidak menolak sekiranya bayi sulungnya itu menerima tawaran daripada mana-mana produk dan tidak mempunyai sebarang masalah berkenaan isu itu. Ini kerana bagi Fadzil, beliau menganggap ianya merupakan rezeki untuk Aisy Mateen demi masa depan beliau, jadi perkara itu tidak sepatutnya dihalang. (rkty/w)
0 comments