Dah Tawar Hati, Tak Berbaloi – Dato Vida Kecewa Dengan Pasukan Kelantan
Pasukan bola sepak kelantan, The Red Warriors berdepan tamparan hebat apabila penaja utamanya Datuk Seri Vida akui sudah kecewa dan ‘tawar hati’ untuk meneruskan tajaannya.
Datuk Vida berkata, beliau merancang untuk menghentikan tajaan lebih awal ekoran prestasi hambar dan juga pemain utama ingin keluar dari pasukan Kelantan.
Jelas Vida, beliau akan bertemu dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa untuk memaklumkan keputusannya itu dalam masa terdekat.
Ini komennya:
Tawar Hati
“Ya, hati saya sebenarnya sudah retak, tiada lagi rasa ‘bahang’ macam awal musim dulu. Saya amat kecewa dengan prestasi Kelantan yang saya rasakan tidak berbaloi dengan pelaburan besar saya.
“Saya orang bisnes, sudah tentu saya amat terkesan kerana prestasi hambar pasukan sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap produk saya,”
Kecewa Dengan Penyokong
Vida yang juga pengasas produk kecantikan Qu Puteh turut kecewa dengan penyokong Kelantan yang enggan melaburkan sedikit wang mereka sebagai sebahagian daripada ‘penaja’ pasukan menerusi pembelian jersi dan produk keluaran syarikatnya.
“Setiap kali saya taja mana-mana program, ia beri impak positif dari segi jualan dan saya boleh teruskan tajaan. Tapi berlainan pula dengan bola, nama naik tapi dari segi pembelian produk tidak ada.
“Saya sudah hasilkan jersi mengikut harga mampu milik tapi penyokong lebih suka beli jersi ciplak. Saya keluarkan pula air tin berharga RM4.80 tapi penjualan masih perlahan.
“Oleh itu, ia melemahkan semangat saya untuk teruskan tajaan. Pelbagai perkara perlu diambil kira kerana wang tajaan saya bergantung dengan hasil penjualan produk,”
Buat Apa Tanggung Derita
Ketika ditanya mengenai tempoh kontrak tajaan yang masih belum berakhir, Vida berkata:
“Suami isteri pun kalau kahwin berjanji nak hidup semati, tapi kalau dah sakit jiwa, cerai jelah… buat apa menanggung derita.”
Pemain Utama Tinggalkan Kelantan
Malah, lebih memburukkan keadaan sebahagian daripada tonggak utamanya didakwa bakal meninggalkan Kelantan pada musim depan.
Antara pemain yang disebut bakal ‘angkat kaki’ ialah Wan Zack Haikal Wan Noor yang akan berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Badri Mohd Radzi (Melaka United) dan Wan Zaharulnizam Wan Zakari (JDT atau Selangor).
Selain itu, Nor Farhan Muhammad (JDT), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United atau Kedah), Brendan Gan (JDT) dan Indra Putra Mahayuddin (T Team).
Ini komen Vida:
“Spekulasi ini mungkin ada kebenarannya. Namun saya tidak menjangka jumlah pemain begitu ramai dan membabitkan nama-nama besar,”
-PENMERAHDOTCOM
The post Dah Tawar Hati, Tak Berbaloi – Dato Vida Kecewa Dengan Pasukan Kelantan appeared first on PenMerah.com.
0 comments