Wednesday, February 1, 2017

Pati ikan Haruan tidak digalakkan untuk ibu-ibu mengandung bersalin secara caeser

Rata-rata ibu mengandung mahu bersalin secara normal. Namun jika tiada pilihan atas sebab-sebab tertentu, maka terpaksalah jua bersalin secara bedah atau caeser. 

Sakitnya usah cerita, tiada satu pun perkataan yang mampu menggambarkan betapa sakitnya kena bedah. Dalam perkongsian ibu kepada empat orang anak ini, tidak dapat dibayangkan pengalaman gembira bercampur sakitnya ketika melahirkan anak yang keempat yang berkaitan dengan pemakanan yang tidak sepatutnya.

Sebab itu ramai yang menekankan, golongan suami patut mengambil tahu tentang penjagaan pantang isteri selepas bersalin. Bukan hanya menyerahkan 100% kepada isteri. Selain itu, hargailah pengorbanan isteri anda yang tiada nilainya. 


Oleh Nor Farra Farihan

Sayangku Muhammad Umar Dhiaurrahman. Baby dah usia setahun sekarang walaupun mama lambat wish. Saya nak cerita pengalaman yang boleh dijadikan panduan untuk ibu-ibu yang bersalin secara caeser. Bila ingat balik, rasa nak menangis dan rasa besarnya kekuasaan Allah swt menyelamatkan nyawa saya. 

Umar lahir secara caeser. Bukan saya tak pernah bersalin caeser, dah tiga kali saya bersalin secara caeser. Kakak Batrisyia bersalin caeser sebab jalan lambat terbuka. Kak Ardini bersalin normal tak cukup bulan, adik bambam pun caeser juga. Doktor paksa sebab besar sangat, 4.3 kilogram. Baby Umar kena paksa juga sebab dah dua kali caeser. 

Pernah tak ibu-ibu di luar sana merasa sakit semasa doktor sedang membuat pembedahan? Kenapa saya berkata begitu? Kerana saya mengalami situasi tersebut. 

Saya masuk dalam dewan bedah jam 4 petang. Selepas salam dan minta maaf pada suami serta call mak ayah di kampung, saat masuk bilik bedah, rasa macam dunia ini kecil saja. 

"Adakah selepas ini aku masih hidup untuk melihat anak-anakku membesar?" soalan tersebut terlintas di minta. 

"Jangan menangis, nanti emosi puan terganggu. Inggat Allah swt sahaja. Sekejap lagi baby nak keluar. Semoga dia dipermudahkan," kata jururawat sambil mengelap air mata saya. 

Selepas dibius, dalam jam 5 petang, pembedahan bermula. Doktor pakar maklumkan yang dia akan bedah di tempat yang sama dengan pembedahan sebelum ini. Jururawat bagi minum ubat, selepas minum saya terus muntah sebab angin. Nak menjalani pembedahan, kita kena berpuasa. Saya berpuas sejak dari malam lagi.

Doktor pakar mulakan pembedahan, saya dapat merasakan bau hangit pisau sedang membelah perut. Zikir dan bacaan ayat suci Al-Quran bermain di bibir. Semasa pembedahan sedang berlangsung, doktor pakar tiba-tiba berhenti seketika. 

"Puan tunggu sekejap ye. Saya tak dapat teruskan pembedahan di tempat yang melekat di antara dinding rahim dengan usus. Sukar untuk saya teruskan," jelasnya. 

Dalam hati saya hanya berdoa. 

"Selamatkan anakku walaupun nyawa aku tidak panjang ya Allah. Anak ini hadiah keempat untuk suami tersayang." 

Doktor pakar kemudian mengarahkan jururawat menghubungi doktor pakar yang lebih senior daripadanya. Masa itu, saya rasa sudah setengah jam berlalu. Selepas 10 minit kemudian doktor pakar yang dinanti-nantikan itu pun tiba. dengan kelam kabut. Kasihan saya tengok dia berlari untuk menyelamatkan pesakit. Kalau dia tengah makan, mesti dia tinggalkan makanan dia dan berlari untuk selamatkan saya. 

Dia datang dengan senyuman. 

"Sabar ya puan," doktor pakar berbisik di telinga saya. 

Saya berzikir banyak-banyak dan sentiasa ingat Allah swt. Dia mulakan dengan bismillah. Bila sudah sejam lebih usaha untuk mengeluarkan baby, tiba-tiba saya rasa sakit sangat. Doktor menekan-nekan perut saya untuk mengeluarkan baby. Saya cuba sedaya upaya bersabar dan menanggung kesakitan apabila pembedahan sedang berlangsung.

Ya Allah, ya Allah. Saya sudah tidak boleh menahan sakit, saya menjerit minta tolong.

"Tolong doktor! Tolong, saya rasa sakit sangat pembedahan kali ini. Saya merayu doktor tambah ubat bius. Saya dapat rasa sakit, tak tahu nak cakap pedihnya," kata saya. 

Doktor pakar bius datang dekat pada saya dan menjelaskan bahawa permintaan saya tidak dapat diberikan. 

"Bahaya puan kalau tambah ubat bius, puan sakit sangat ke?" tanya pakar bius berkenaan. 

"Ya doktor, tolonglah doktor, saya tak boleh tahan dah doktor, sakit sangat ni," rayu saya dan menangis pada masa itu. 

Pakar bius itu kemudian beri gunakan oksigen. Dia masukkan ubat pelali. Tiba-tiba saya rasa tak sedar diri dan hanyut. Ayat terakhir saya sebut, Ya Allah.. Ya Allah.. 

Saya rasa saya tidur tetapi saya rasa sakit semasa tidur. Tapi saya tak boleh buka mata. Bila saya sedar, saya tengok jururawat tengah mengangkat bayi dan bawa keluar untuk dimandikan. Waktu itu jam 8 malam. Saya mengucap syukur kepada Allah swt kerana masih hidup untuk melihat anak-anak membesar. Ya Allah, lamanya proses nak keluarkan baby kali ini. Hampir tiga jam lebih. Biasanya caeser ini hanya mengambil masa di bawah satu jam sahaja. 

"Puan ada makan pati haruan atau ikan haruan semasa berpantang anak yang lepas?" soal doktor. 

"Ya, saya makan selama dua minggu pertama," jawab saya. 

"Puan mengalami adhesion colic iaitu di mana usus-usus melekat-lekat akibat dari pemakanan yang lalu. Nak ambil boleh tetapi selepas sebulan dengan kuantiti yang sederhana. Pati haruan memang tidak digalakkan kerana kepekatannya untuk caeser kerana boleh menyebabkan adhesion colic yang puan alami tadi," jelas doktor. 

Muhammad Umar Dhiaurrahman | Foto - Nor Farra Farihan
Ibu yang bersalin secara normat sangat baik makan pati haruan sebab penyembuh luka yang sangat cepat. Bila pembedahan, minta tolong jangan makan pati haruan. Sangat bahaya dan takut menjadi seperti saya sampai dinding rahim melekat-lekat dengan usus perut. 

Pembedahan yang singkat boleh menjadi lama dan ianya sangat menyakitkan sehingga sukar hendak saya gambarkan. Semasa mengandung pun saya sering kali sakit perut iaitu cramp. Bila baby semakin membesar, semakin kuat saya cramp. Baru saya tahu rupanya cramp itu disebabkan kelekatan yang melibatkan saraf apabila kita duduk dan bangun berjalan. 

Semua ini berlaku ada hikmah yang berjuta Allah berikan. Saya doakan Umar menjadi pejuang Islam yang Allah swt cintai. Boleh kongsi kalau nak beritahu saya yang pernah menjalani caeserean. 

via OhKisahnya
Load disqus comments

0 comments