Monday, February 27, 2017

5 Amalan Mujarab Untuk Memikat Jodoh Sendiri


“Eh, Suzi, bila nak kawin?”
“Belum ada calon Mak Lang. Mak Lang tolong lah carikan”.
“Laa.. Kamu memilih sangat kot. Kat tempat kerja tu tak ada ke siapa-siapa yang bujang?”.
“Kalau ada pun kawan-kawan ja. Tak apalah, jodoh kan di tangan tuhan”.
“Anak Mak Lang yang sebaya kamu tu tengah mengandung anak kedua dah”.
Krik krik krik.
Okay, sebelum kita mula buka jurus-jurus silat depan Mak Lang tu, jom selidik balik apa yang tersirat disebalik perbualan ini. Selain kelancangan mulut Mak Lang, sebenarnya Suzy bukan sahaja memberikan jawapan yang save tetapi juga menunjukkan dia sebenarnya belum bersedia ke arah perkahwinan! Kenapa Suzy dikatakan tidak bersedia?
Kerana jodoh juga perlu dicari. Bukan sekadar menyerahkan segalanya pada Tuhan. Kita perlu bersedia dan menyediakan diri ke arah perkahwinan. Jangan tunggu orang masuk meminang, baru nak belajar rebus air!

#1 – Menjadi Isteri Sebelum Berkahwin

Jangan salah faham! Menjadi isteri sebelum berkahwin di sini bukanlah dari konteks negatif yang melibatkan gejala zina dan pergaulan bebas. Walaupun kemampuan-kemampuan asas seorang isteri seperti kemahiran memasak dan mengemas rumah merupakan satu bonus, itu bukan keutamaan yang dituntut dari seorang isteri.
Ramai sahaja yang berkahwin dengan tanpa apa-apa pengetahuan dan kemahiran tapi mampu mengecap bahagia. Hari-hari makan nasi kuah kicap, tapi suami sayang ja. Lalu, apa ya?
Tugas pertama seorang isteri adalah menjadi seorang yang taat!
Kita perlu mendidik jiwa kita menjadi seorang yang patuh sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Seringkali saya terjumpa gadis-gadis yang hidupnya sangat fun, alasannya untuk bergembira sebelum berkahwin. Di sini, telah wujud satu kekeliruan mindset.
Kebebasan sebenarnya dicapai selepas berkahwin kerana kita kini sudah mempunyai seorang mahram setia yang menemani kita ke mana sahaja. (Ya, ke mana sahaja selagi sang suami setuju kerana kadang-kala, suami akan menolak ke tempat yang dirasakan tidak sesuai dengan citarasa dan ketebalan poketnya. Bertabahlah).
Kalau kita merasakan perkahwinan itu suatu yang mengongkong, bagaimana kita mahu menyediakan diri kita sebagai isteri yang patuh? Bagaimana kita mahu menyediakan jiwa kita untuk berkompromi dalam segalanya?
Itu baru tentang memulakan kehidupan dengan sang suami, belum dikira apabila hadirnya cahaya mata. Lagi banyak perkara yang perlu dikorbankan. Usahkan nak pergi set rambut di kedai, dapat mandi 5 minit pun dah rasa macam holiday!
Kalaupun kita adalah anak yang taat, belum menjamin kita bakal menjadi isteri yang taat. Sediakan jiwa kita untuk berkompromi dan betolak ansur kerana itu adalah asas kepada sesebuah perkahwinan. Bersediakah? Tepuk dada tanya iman.

#2 – Cari Jodohmu!

Maafkan saya kerana tajuk yang agak daring. Tapi sememangnya, jodoh itu ‘manja’. Perlu dicari, diusaha, dipikat dan diingati selalu walaupun belum berada di depan mata. Begitu sekali?
Ya, kerana rumahtangga memerlukan komitmen 100%. Isteri yang baik ialah yang selalu menggembirakan hati suaminya, suami yang baik juga yang sedia berkorban untuk melindungi keluarganya.
Jadi, bagaimanakah untuk mencari jodoh? Caranya ialah dengan bergaul dengan mereka yang serius dengan perkahwinan. Bukannya mereka yang seronok dan melihat perkahwinan hanya sebagai salah satu pelan hidup yang akan berlaku di masa depan. Kerana selalunya, mereka yang memandang serius akan sesebuah institusi perkahwinan juga akan serius dalam mencarikan jodoh yang baik untuk kita.

#3 – Doa Yang Istimewa

Dalam mencari, harus juga diusahakan dengan doa. Berdoalah semoga ditemukan dengan jodoh yang baik di setiap waktu solat. Pernah ada seorang sahabat selalu mengeluh tentang dirinya yang masih belum bertemu jodoh.
Bila ditanya adakah dia berdoa, katanya sudah. Kira-kira seminggu yang lalu dia berdoa semoga dicepatkan jodoh. Waduh.. Doalah sentiasa. Jodoh itu bukan sesuatu yang ringan, ianya sangat signifikan dalam kehidupan kita. Sesuatu yang sebegitu istimewa, semestinya memerlukan usaha dan doa yang istimewa, bukan?
“Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada KU, nescaya akan AKU perkenankan bagimu. Sesungguhnya, orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah KU akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina.”Al-Ghafir; 60

#4 – Projek Memikat Jodoh

Berbalik kepada memikat jodoh, kaedah ini sebenarnya perlu diteruskan sentiasa walaupun setelah berumah tangga. Secara fitrahnnya, kita semua mendambakan jodoh yang baik-baik. Yang kurang baik mahukan pasangan yang baik, apatah lagi yang sudah sedia baik.
Justeru, ‘pikatlah’ pasangan yang baik itu dengan membaiki diri dengan menjadi insan sebaik jodoh idaman hati itu. Awas, jangan berlakon! Kerana Tuhan Maha Mengetahui setiap sesuatu dan tidaklah sesuatu lebih utama selain kerana disandarkan kerana Tuhan.
Seperti mana sudah tertulis dalam Al-Quran yang suci tentang ketetapan jodoh tersebut;
“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat, dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.”an-Nur:26

#5 – Ingati Jodoh

Jodoh juga perlu diingati selalu. Sukarnya mengingati seseorang yang kita tidak pernah jumpa secara fizikal. Tapi, percayalah setiap dari kita ada jodoh masing-masing. Selalu mengingati dengan mendoakan kesejahteraan dan kebaikan untuknya. Lambat laun, kebaikan itu akan datang kembali kepada kita apabila dia menjadi pasangan kita, bukan?
Amalan seorang sahabat Nabi S.A.W yang bernama Abu al-Darda’ ialah:
“Aku sentiasa mendoakan 70 orang sahabatku ketika aku sujud kepada ALLAH, dan aku sebut satu persatu”.
Inilah punca utama tersebarnya kasih saying dan kecintaan antara kamu Muslimin.

Kesimpulan

Apa jua yang kita ingini, samada jodoh mahupun perkerjaan, semuanya berbalik kepada diri kita. Sering kali kita merasakan yang kita sudah cukup bersedia untuk sesuatu, tetapi sesungguhnya Tuhan lebih mengerti dan tahu tahap kesediaan kita.
Benarlah jodoh itu urusan Tuhan, tapi kita juga perlu berusaha. Usaha bukan dengan ‘memurahkan’ diri, tapi dengan menunjukkan kesungguhan dan kesediaanmu kepada tuhanmu. Saya sendiri berdoa dengan linangan air mata memohon didekatkan jodoh yang terbaik.
Setahun istiqomah berdoa, sehingga adik bongsu saya pernah bertanya “kenapa kakak menangis?”.
“Kerana kakak sedang mendoakan sesuatu yang kakak sungguh-sungguh mahukan”.
Selain mendapat seorang suami yang handsome di mata saya, saya juga mendapat ketenangan hati. Fitrah, hubungan mana tidak dilanda angin sepoi-sepoi bahasa, bukan. Rumah tangga kami juga sudah disapa angin sepoi-sepoi semua jenis bahasa!
Tapi saya yakin walau apa pun, dialah yang terbaik untuk saya. Kenapa? Bukan kerana elaun bulanan darinya ya, tapi kerana saya yakin Tuhan tidak akan memungkiri janjiNYA. Cari jodoh melalui Tuhan, nescaya hatimu redha.


Sumber : tazkirah.net


via Bin Usrah
Load disqus comments

0 comments