Tuesday, July 18, 2017

8 Tanda Kecil Keretakan Institusi Kekeluargaan

Image result for 8 Tanda Kecil Keretakan Institusi Kekeluargaan


Semasa mengikat kata cinta melalui akad nikah, tiada siapa yang membayangkan akan sebuah keluarga yang tidak bahagia.
Pada masa itu, keyakinan adalah tentang hidup bahagia di samping pasangan dan anak-anak. Kita membayangkan hubungan sampai ke syurga.
Kita bina sebuah mahligai dengan rasa cinta yang tidak berbelah-bahagi. Sehinggalah pada suatu masa gambaran impian keluarga sampai ke syurga itu mulai kabur.
Semasa impian seolah-olah kian hilang, sedarkah kita dengan tanda-tandanya?

Pasangan/Ibu Bapa

#1 – Tidak Banyak Bercakap Atau Tidak Bercakap Langsung

Ada masanya kita kurang bercakap dengan pasangan kita. Mungkin disebabkan oleh komitmen kerjaya dan sebagainya.
Namun, apabila ia berlaku dalam tempoh yang lama dan berpanjangan, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Suatu masa dahulu kita mencari masa untuk bercerita pelbagai hal walaupun kelihatan remeh di mata orang lain.
Kini, semuanya umpama rahsia. Tiada lagi perkongsian tentang apa yang berlaku di siang hari. Dan malam hanya disudahi dengan tidur tanpa ucapan selamat malam.

#2 – Sering Bergaduh Untuk Perkara Yang Sama

Semasa kita bahagia, perkara yang besar pun mampu ditangani. Apalagi hal yang kecil. Umpama hujan lalu, semuanya diselesaikan dengan mudah.
Namun, tidak begitu buat keluarga yang mula dilanda masalah. Hal yang kecil ini diperbesarkan. Hal yang besar menjadi peperangan dan alasan untuk berpisah.
Kita mula melihat kekurangan yang selama ini kita terima sebagai sekadar kekurangan seorang manusia.
Lebih teruk apabila kita mulai menilai kesilapan sebagai sesuatu yang tidak lagi boleh dimaafkan.

#3 – Sering Mengelakkan Diri Daripada Pasangan

Pernahkah anda merasa perasaan itu? Semasa kita membenci seseorang. Kita cuba sedaya-upaya untuk mengelak dari mereka.
Semasa kita marah dengan pasangan pula, ada yang memilih untuk mendiamkan diri. Dia di ruang tamu, kita ke dapur. Dia ke dapur, kita ke bilik. Dia ke bilik, kita ke bilik yang lain.
Pada awalnya kita memanggil ia sebagai ‘merajuk’. Tapi, ia satu masalah bila ia bukan lagi tentang rajuk. Ia kini tentang rasa tidak senang, tidak selesa, dan tidak suka berada di sisinya.

#4 – Busuk Hati Terhadap Pasangan

Busuk hati. Ya, ia boleh berlaku. Dengan rasa benci dan cinta yang menjauh, kita gembira jika dirinya bersedih.
Bila sesuatu menimpa dirinya, kita anggap ia sebagai balasan kepada dirinya. Kita tidak bangun menjadi penyokong di saat dia ditimpa kesusahan.
Sebaliknya kita mentertawakan dirinya, sekurang-kurangnya dalam senyap.

Anak-Anak

#5 – Anak-Anak Menjauhkan Diri Dari Ibu Bapa

Anak-anak tidak lagi senang duduk di rumah. Banyak masa diluangkan di luar terutama bersama-sama rakan-rakan mereka.
Jika boleh, mereka akan mencipta alasan untuk berada lama di luar rumah sehingga larut malam atau tidak pulang langsung.
Mereka sudah lagi tidak merasai ketenangan di rumah. Komunikasi dengan ibu bapa berkurangan atau tiada.
Anak-anak lebih senang berahsia kerana mereka sudah ada rakan-rakan yang telah mengambil peranan sebagai ibu bapa.

#6 – Anak Tidak Menghormati Ibu Bapa

Bila jarak dengan ibu bapa sudah menjauh, begitu juga dengan rasa hormat. Anak-anak mula mempertikaikan peranan ibu bapa dalam hidup mereka.
Bila mereka sudah tidak dapat melihat ibu bapa sebagai contoh ikutan mereka, maka rasa hormat kian terhakis.
Mereka mulai berfikir kekurangan ibu bapa dan berharap mereka akan mencipta keluarga yang lebih baik. Dan ia tidak melibatkan kedua ibu bapa.

#7 – Anak Tidak Kisah Jika Memalukan Keluarga

Anak-anak zaman ini dibesarkan dalam suasana jauh berbeza berbanding berpuluh tahun dahulu.
Begitu besar peranan teknologi sehingga menyebarkan pelbagai budaya yang begitu asing dengan cara kebanyakan ibu bapa mereka dibesarkan suatu masa dahulu. Ini ditambah lagi dengan pengaruh rakan sebaya.
Dalam keadaan kita menjaga anak-anak dengan penuh waspada pun adakalanya pengaruh ini berjaya menyelinap dalam hidup anak-anak.
Apalagi jika keluarga itu sendiri dilanda masalah. Setelah rasa hormat menghilang, maka tiada nama baik keluarga untuk mereka pedulikan.

#8 – Anak Sering Mengeluh Tentang Hidup

Diri yang dibina dalam kehancuran, memberi kesan perskpektifnya tentang kehidupan. Dia sudah mulai letih dengan semua hal yang memberi tekanan. Lalu hidup ini dirasakan terlalu sukar dan tidak bererti lagi.
Kita pernah rentasi jalan bahagia dengan semangat dan tanpa putus asa. Justeru, semua ini boleh dielakkan dengan mulakan semula usaha untuk menunaikan tanggungjawab sebagai individu di dalam institusi kekeluargaan.
Perbaiki komunikasi dan semai semula sifat saling-menghormati. Kembalikan semula keluarga ke jalan yang diredhai Allah.
Sekiranya sukar melaksanakannya sendiri, cuba dapatkan bantuan pihak ketiga yang diyakini berilmu dan adil dalam memberikan nasihat dan bimbingan. Walau apa pun, putus asa bukanlah pilihan.
Tiada ungkapan “sudah terlambat” apabila kita menyedari adanya masalah yang perlu dibaiki segera.
Selagi masih ada masa dan nyawa, maka itulah ruang untuk kita berusaha mendapatkan syurga yang pernah kita idamkan.
Jika kita nekad mencipta syurga suatu masa dahulu, maka kita juga perlu nekad untuk mempertahankannya.
Sumber : tazkirah.net


via Bin Usrah
Load disqus comments

0 comments