Sunday, July 2, 2017

5 Langkah Bagi Anda Menghilangkan Was-Was Semasa Solat Dan Wuduk

Image result for 5 Langkah Bagi Anda Menghilangkan Was-Was Semasa Solat Dan Wuduk


Seorang rakan pernah menceritakan bagaimana was-was menyukarkan dirinya semasa hendak mengambil wuduk dan bersolat.
Wuduk terpaksa dilakukan berulang-kali dan sukar pula hendak memulakan solat, sedangkan ia tidak pula mengganggu dirinya semasa melakukan tugasan harian yang lain.
Was-was sebenarnya merupakan bisikan ke dalam jiwa dan pemikiran oleh syaitan yang menjadikan diri sentiasa tidak pasti yang telah dilakukan sejak peristiwa Adam dicampak ke bumi.
Berikut adalah beberapa langkah menghilangkan was-was semasa mengambil wuduk dan bersolat;

#1 – Amalkan Membaca Isti’azah Dan 3 Qul (al-Naas, al-Falaq, dan al-Ikhlas)

Baca sebanyak 3 kali setiap kali selepas solat dan sebelum tidur. Banyakkan membaca Al-Quran dan berdoa agar anda dijauhkan daripada bisikan syaitan, memohon kekuatan diri dan kemudahan semasa melakukan ibadah.
Tujuannya adalah untuk melemahkan syaitan dan memberi kekuatan kepada diri. Amalkan juga doa untuk menghalau syaitan;
“Dan jika engkau dihasut oleh hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”Surah al-A’raaf:200

#2 – Tambahkan Ilmu Agama Dalam Diri Secara Berterusan

Ini membolehkan anda memahami hukum-hakam dan perkara yang boleh menghindarkan diri daripada rasa was-was.
Yakinkan diri bahawa minda anda sedang dikuasai oleh syaitan yang tugasnya adalah membuatkan anda berasa jemu melakukan ibadat sehingga anda tidak mahu melakukannya lagi.
Syaitan mempunyai tugas khas iaitu ia mahu anda menjerumuskan diri anda ke dalam neraka. Oleh itu, kuatkan minda anda serta meyakini yang boleh melaluinya.

#3 – Semasa Mengambil Wuduk Dan Bersolat Tumpukan Perhatian Anda Sepenuhnya

Jangan melayan sebarang rasa yang menjentik hati anda yang cuba mengatakan wuduk anda ada kekurangan dan solat anda tidak diterima Allah. Kekuatan minda amat diperlukan pada masa ini.
Jika anda mula melayan perasaan anda, anda tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini. Oleh itu, jangan mengulang kembali wuduk atau perbuatan di dalam solat anda. Buat dan teruskan dengan yang lain.
Minta kepada Allah untuk menerima semua ibadah anda. Ingat, anda sedang melawan keburukan untuk mendapatkan kebaikan.

#4 – Beritahu Keluarga Atau Rakan Anda Mengenai Masalah Anda

Sokongan daripada mereka adalah amat diperlukan. Tidak mustahil jika ada di antara mereka yang dapat memberikan jalan penyelesaian kepada anda.
Membaca artikel ini juga insyaAllah dapat membantu anda menangani masalah was-was. Ini juga bagi membantu orang lain yang mungkin keliru dengan masalah anda.

#5 – Khidmat Kaunseling

Sekiranya masalah anda masih tidak juga selesai, cuba dapatkan khidmat kaunseling atau pakar psikologi. Ini kerana was-was juga boleh dikaitkan dengan masalah psikologi yang digelar sebagai Obsessive-Compulsive Disorder.
Bersemukalah dengan mereka dan berterus-terang dengan permasalahan anda. InsyaAllah, anda akan menemui jalan penyelesaiannya.
Sumber : tazkirah.net


via Bin Usrah
Load disqus comments

0 comments