Monday, July 3, 2017

'Selama tiga tahun saya ditipu'


Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Begitu juga dengan alam perkahwinan yang bahagia, jangan disangka tiada dugaan. Sebab itu adalah penting sama ada suami atau isteri menjaga batas pergaulan bila berada di tempat kerja. Syaitan selalu menunggu masa apabila ada yang berdua-duaan.

Seperti yang diceritakan oleh wanita ini, dia langsung tidak menyangka suaminya mengkhianati kepercayaan yang diberikan selama ini. Sedangkan mereka sebelum ini amat bahagia. Semoga menjadi pengajaran kepada kita semua agar tidak terjerumus dalam perkara yang tidak sepatutnya.

Assalamualaikum

Usia perkahwinan saya dan suami hampir 12 tahun, tahun ini. InshaAllah. Apa yang saya nak kongsikan di sini, mungkin tidak seberat masalah-masalah orang-orang sebelum ini. 

Saya dan suami memang terkenal di kalangan rakan-rakan kami. Pasangan paling romantik atau lovey dovey. Memang luaran tak nampak cacat celanya. 

Untuk pengetahuan semua, kami suami isteri sangatlah rapat. Berjalan berdua sehingga kini pun masih berpegangan tangan. Masih salam cium tangan sebelum ke tempat kerja. Masih baring di atas riba kalau duduk menonton tv bersama sekeluarga. Makan bersuap memang selalu. Pendek kata kalau orang luar tengok, tak ada apa kurangnya pun. 

Saya tak pernah terfikir satu hari nanti saya akan diduga. Saya tidak pernah bayangkan hati saya akan hancur sebegini, tak tercapai dek akal, bila diingatkan semula. 

Bayangkan, bagi saya, suami saya memang suami yang sangat baik. Terbaik yang pernah saya jumpa. Bukan mahu bermegah tetapi inilah ynag saya alami selama saya berkahwin dengan dia sehinggalah...

Nanti saya ceritakan. Ini senarai kenapa saya kata suami saya memang baik:
  1. Tak pernah tak balik rumah setiap hari balik kerja. Paling lambat pun mungkin dalam jam 9.50 malam. Itupun jarang-jarang. Selalu dalam jam 7 malam dah sampai rumah. 
  2. Tak pernah menolak atau katakan tidak kalau diajak temankan beli barang di pasar ke, Jusco ke, Aeon ke, Kedai Acheh atau di mana-mana sahaja. Memang sentiasa berkepit. 
  3. Sangat penyayang dengan anak-anak.
  4. Rajin membantu saya. Suka memasak untuk isteri. Infact, dalam pantang pun dialah yang jaga makan minum saya walaupun ada pembantu rumah. 
  5. Sangat menghormati dan melayani ibu bapa saya dengan baik. Tak pernah buat sesuatu yang melukakan hati mereka. 
  6. Sayang panyayang dan kucing-kucing saya semua melekat dengan dia. Boleh menangis kalau kucing kami mati. 
  7. Duit nafkah bulanan dan bil-bil rumah tak pernah sekalipun dia lupa transfer ke dalam akaun. 

Perfecto kan? Tetapi tanpa saya sedari, di sebalik kesempurnaan yang dia miliki, dia memang ada kelemahan. Dia gemar menolong orang. Orang bermasalah pun dia akan cuba bantu, dengar, sampaikan dia tidak tahu nak membezakan salah atau tidak. 

Tanpa saya sedari, bila saya terlalu memberi kepercayaan kepada dia, dia telah mengkhianati saya. Menghancurkan hati saya. Sampai ke hari ini, saya tidak dapat merawat hati saya yang sudah hancur luluh ini. 

Sebabnya, saya sudah pesan berkali-kali, "buatlah kesalahan apa pun, hatta menipu, marah, tengking apa sahaja, I boleh maafkan dan lupakan. Tetapi bukan kesalahan yang melibatkan orang ketiga,"

Betul, kan? Hubungan antara lelaki dan perempuan amatlah tidak digalakkan kerana di antara kedua makhluk tuhan ini akan wujudlah syaitan yang akan berusaha untuk menggoda mereka ke jalan yang mungkar, ke jalan yang mudah mendatangkan fitnah. 

Selama tiga tahun saya ditipu. Selama ini saya dengar cerita dari suami saya tentang perempuan yang sepejabat dengannya. Dari zaman perempuan ini masih anak dara sehinggalah dia berkahwin, mengandung dan beranak. 

Saya kerap dengar suami saya cerita tentang perempuan ini yang bermasalah dengan bakal suaminya (masa itu belum kahwin lagi), baran, demanding bagai. Saya pelik, kenapa semua cerita seperti itu dikongsikan dengan suami saya. Saya masih lagi bersangka baik pada ketika itu. Husnuzon. 

Bila perempuan itu berkahwin, suami sanggup pergi biarpun jauh sampai ke Melaka. Saya ikut dan hadiah kahwin saya belikan sebab fikir perempuan itu kawan suami adalah kawan saya juga. 

Bila beraya, perempuan itu datang ke rumah, siap beri duit raya pada anak-anak saya. Orang buat baik, ktia pun bersangka baik. Saya pun anggap dia seperti adik dah sebab dia muda lagi. 

Bila suami cerita yang perempuan ini bermasalah dengan suami dia, kerap bergaduh, panas baran, selalu biarkan perempuan ini sendirian dan paling menarik perempuan itu siap bandingkan suaminya dengan suami saya. Masa itu saya dah mula rasa tak sedap hati. Tetapi masih lagi bersangka baik. 

Tidak lama selepas itu, suami mengadu motosikalnya rosak. Dia terpaksa tumpang perempuan ini ke tempat kerja. Mula-mula tak kerap, lama kelamaan menjadi semakin kerap. Eh, rasa tak sedap hati pula. Makin menjadi-jadi bila suami saya dah mula pinjam kereta perempuan itu katanya digunakan untuk urusan kerja ke jabatan kerajaan pula. 

Masa itu saya dah mula syak sesuatu. Pengakhirnya bila saya dah hilang kesabaran bila suami mengaku bahawa dia makan tengah hari berdua dengan perempuan itu di waktu tengah hari sebab perempuan itu luahkan perasaan sedihnya tentang kerja pada suami saya. 

Saya mula panas hati dan mula tag nama suami saya dengan kata-kata tentang tidak elok berdua dengan kawan berlainan jantina. Tak elok di pandangan masyarakat sehinggalah saya buat keputusan untuk berdepan dengan suami kerana saya tidak gemar dia terlalu rapat dengan perempuan itu. 

Untuk pengetahuan semua, perempuan ini sengaja add saya di dalam Facebook semata-mata nak memantau kegiatan seharian kami sekeluarga. Saya langsung tak terfikir dia nak buat apa. Bersangka baik kan Orang add, kita approve sajalah. 

Allah nak tunjuk, saya semakin syak suami cuba sorokkan sesuatu dari saya sebab dia kerap bawa handphone ke dalam bilik air bila nak mandi. 

Satu hari saya tergerak hati nak periksa telefon suami. Password telefon dia saya masih ingat bila terdengar dia beritahu anak-anak saya pada hari itu. Alangkah terkejutnya saya bila terbaca perbualan antara suami dengan perempuan itu. 

"Good morning Daddy, Mummy dah sampai dah di tempat parking seperti biasa yer," mesej perempuan itu. 

"Good morning Mummy. Kejap yer, Daddy mandi dan bersiap dulu. Tunggu tau," balas suami. 

Hancur luluh hati saya. Tak tahu nak gambarkan perasaan saya macam mana. Rasa seperti dunia ini dah nak kiamat. Rasa hiba yang amat sangat. 

Saya ketuk pintu bilik air dan tunjuk pada suami. Dia tak terkata apa-apa pun. Yang dia mampu kata, "I minta maaf sayang. I minta maaf. I tahu I salah," katanya. 

Rasa? Nak percaya?

Saya call perempuan itu dan buka loud speaker. Saya jerit kuat-kuat dan cakap selama ini punyalah saya percaya pada dia. Tetapi ini balasan yang dia buat pada saya. Perempuan itu menangis-mnangis dan meminta maaf. Dia kata dia tahu dia salah dan menyatakan perbualan itu tidak bermaksud apa-apa. Kepala atuk dia! Siap bermummy daddy dengan suami orang, sedangkan suami sendiri ada saja di rumah. 

Lebih menarik lagi bila perempuan itu ada di depan rumah kami. Dia berhenti depan rumah untuk jemput suami, ajak pergi kerja sama-sama. Dia cakap suami saya nak tumpangkan barang. Syaitan, jembalang. Kalau dah kerap tumpangkan suami saya, pergi kerja sama-sama, sorok-sorok dari saya, rasa-rasa tak ada perasaan? Ajaibnya. 

Saya jadi separuh gila pada hari itu tapi saya bersabar dan bertenang. Suami pujuk, akhirnya saya maafkan dia demi anak-anak. Saya senaraikan segala kebaikan dia sepanjang dia menjadi suami saya untuk menutup kesalahan yang dia buat ini walaupun hati saya sangat-sangat hancur dan hiba. 

Saya bina balik hubungan kami selepas kejadian itu, tetapi malangnya saya jadi orang lain, bukannya saya yang dulu. Saya menjadi sangat cemburu dan selalu meninggikan suara bila bercakap dengan suami. Saya kerap mempersoalkan suami pergi ke mana. Saya jadi perengus, memang bukan diri saya sendiri yang dulu. 

Itu semua sebab saya sayangkan suami. Kerana perbuatan curangnya itu yang membuatkan saya menjadi benci, pendendam. Dua identiti yang bertukar-tukar hinggalah.. 

Saya sambung lagi di bahagian kedua. Tak sanggup nak teruskan. Sedih, mungkin tak sesedih mereka yang lain sebelum ini. Cuma saya rasa terkejut dengan dugaan yang saya hadapi. 

Saya ingat hidup saya dah cukup sempurna, keluarga saya dah cukup bahagia. Mana mungkin wujud masalah seperti ini. Allah perancang segalanya. 

Load disqus comments

0 comments